Carian
Pameran Projek Arkib: Chung Chen Sun Dibuka Di Balai Seni Negara Hingga 1 September 2025
August 11, 2025 Lina Rosli

Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) melalui Balai Seni Negara telah merasmikan Pameran dan Katalog Projek Arkib: Chung Chen Sun pada 5 Ogos 2025 di Balai Seni Negara. Pameran ini diadakan bagi memperkenalkan serta menghidupkan semula legasi mendiang Chung Chen Sun, tokoh pelukis dakwat Cina dan pendidik seni yang berpengaruh di Malaysia.

Untuk pengetahuan anda, ini merupakan edisi ketiga siri Projek Arkib anjuran Balai Seni Negara, pameran ini menghimpunkan bahan dokumentasi seperti foto, lakaran, katalog dan rakaman wawancara yang memperlihatkan proses kreatif serta pemikiran seni Chung Chen Sun.

Selain karya dakwat Cina yang menjadi identitinya, pameran ini turut menampilkan lukisan minyak dan pastel yang jarang dipertontonkan, menonjolkan kepelbagaian teknik serta evolusi gaya beliau.

Bagi yang tidak mengenali Chung Chen Sun, beliau merupakan salah seorang pengasas Malaysian Institute of Art (MIA). Dan sebagai tanda penghormatan di atas sumbangan besar beliau di dalam seni lukis dan pendidikan seni di Malaysia, Balai Seni Negara hadir ruang khas untuk mempamerkan hasil seni beliau.

Pameran ini disusun berasaskan falsafah Konfusianisme, mencerminkan pengaruh nilai moral Sanjiao atau Tiga Ajaran yang menggabungkan elemen Daoisme, Konfusianisme dan Buddha dalam karya serta pemikiran beliau.

Pameran ini dibahagikan kepada enam segmen, meliputi perjalanan seni dari peringkat nasional ke antarabangsa, pertukaran budaya antara Malaysia dan China, modenisasi lukisan dakwat, peranan dalam pendidikan seni, sisi peribadi, dan sumbangan beliau sebagai penderma karya seni.

Selain itu, Balai Seni Negara bekerjasama dalam penerbitan buku Chung Chen Sun: Seventy Years of Art, diterbitkan sempena ulang tahun kelahiran ke-90 beliau.

Untuk anda yang ingin menerokai karya seni beliau, Pameran Projek Arkib: Chung Chen Sun akan berlangsung sehingga 1 September 2025 di Galeri Potret, Balai Seni Negara. Harga tiket adalah percuma.

Maklumat lanjut boleh didapati di www.artgallery.gov.my atau media sosial rasmi Balai Seni Negara.

Komen