Baru-baru ini, Agoda berkongsikan tentang Destinasi Asia Paling Popular dengan kunjungan berulang kali – yang mana Kuala Lumpur dan Johor Bahru merupakan antara destinasi di Malaysia yang tersenarai.
Berdasarkan data tempahan Agoda bagi enam bulan pertama tahun ini, ia menampilkan 10 destinasi utama di Asia yang mencatat jumlah pengunjung berulang kali paling tinggi – iaitu Bangkok, Tokyo, Seoul, Bali dan Osaka. Di tempat ke-6 diikuti oleh Taipei (Taiwan), Kuala Lumpur (Malaysia), Da Nang (Vietnam), Johor Bahru (Malaysia) dan Hong Kong.

Kuala Lumpur kekal sebagai destinasi pilihan kerana keunikan gabungan suasana kosmopolitan dan warisan budayanya. Ia menjadi pilihan kebanyakan individu kerana terdapatnya variasi pilihan kulinari, pusat beli-belah bertaraf dunia, serta mercu tanda moden yang ikonik.
Sementara itu, Johor Bahru semakin menyerlah sebagai destinasi santai dengan pelbagai tarikan mesra keluarga, aktiviti gaya hidup dan kemudahan akses pengangkutan yang strategik.

Menurut Agoda juga, Kuala Lumpur dan Johor Bahru yang tersenarai bersama destinasi serantau lain membuktikan kekuatan dan daya tarikan berterusan kedua-dua bandar raya ini. Ia bukan sahaja menunjukkan populariti kedua-duanya sebagai destinasi percutian bandar, malah mencerminkan minat yang semakin mendalam untuk meneroka semula tempat yang sudah dikunjungi kerana masih banyak lagi tarikan dan penawaran lain yang perlu diterokai.