Futuromic Merupakan Pengedar Eksklusif Kamera Digital Kodak PIXPRO Di Malaysia
Lina Rosli
Buat peminat fotografi dan teknologi imejan, kini ada berita menarik untuk anda. Futuromic Photo AV Sdn. Bhd. telah diumumkan sebagai pengedar tunggal kamera digital Kodak PIXPRO di Malaysia bermula 1 Ogos 2025.
Kerjasama ini menggabungkan kepakaran Futuromic sebagai pengedar produk fotografi terkemuka di Malaysia dengan legasi panjang Kodak dalam inovasi imejan.

Menurut Futuromic, kini mereka sedang dalam persiapan untuk pelancaran rasmi Kodak PIXPRO di Malaysia. Futuromic akan bekerjasama dengan rakan saluran pengedaran bagi menyediakan sokongan menyeluruh, termasuk maklumat produk terperinci, harga dan terma pembelian, bahan pemasaran, serta program latihan terstruktur.

Selain Kodak PIXPRO, Futuromic juga merupakan pengedar rasmi di Malaysia untuk jenama antarabangsa seperti Nikon, Pentax, Tamron, SanDisk, Western Digital, DNP, Eureka dan GR serta pengedar utama untuk produk imejan FujiFilm.
Dengan pelancaran ini, Futuromic komited dalam memperkukuh kedudukan mereka dalam industri, sambil menawarkan lebih banyak pilihan kamera berkualiti untuk pengguna Malaysia.