Labubu Dan Fenomena Kotak Misteri – Trend Koleksi Moden Yang Mendunia
Bat
Jika anda berjalan di pusat membeli-belah, menaiki LRT atau sekadar duduk di kafe, pasti ada sahaja kelibat patung kecil yang tergantung pada beg, pakaian atau dijadikan hiasan meja. Fenomena ini semakin jelas kelihatan di media sosial, seolah-olah menjadi satu cara untuk mempamerkan koleksi peribadi yang dianggap bernilai.
Trend ini dikenali sebagai kotak misteri atau blind box, iaitu pembelian figura secara rawak tanpa mengetahui rekaan atau patung yang akan diperoleh sehingga kotak dibuka.

Di sebalik pelbagai jenama yang menawarkan konsep ini, satu watak yang paling menonjol dan menjadi lambang kebangkitan semula trend kotak misteri ialah Labubu daripada Pop Mart. Figuranya yang comel namun sedikit nakal menjadikan Labubu bukan sahaja koleksi mainan, tetapi juga simbol gaya hidup moden yang digemari ramai.
Figura Labubu Dan Kotak Misteri
Konsep ini sebenarnya bukanlah sesuatu yang baharu. Di Jepun, budaya ini telah lama berkembang melalui mesin kapsul Gashapon dan tradisi Fukubukuro, iaitu beg bertuah yang dijual sempena Tahun Baharu dengan isi kandungan rawak bernilai lebih tinggi daripada harga belian.
Namun, watak Labubu daripada Pop Mart menjadi titik tolak utama kepada kebangkitan semula fenomena ini. Popularitinya melonjak selepas Lisa, anggota kumpulan K-pop terkenal BLACKPINK, memaparkan koleksi Labubu di Instagram, sekali gus mencetuskan minat global.

Labubu pertama kali diperkenalkan pada tahun 2015 oleh Kasing Lung, seorang ilustrator dari Hong Kong yang banyak terinspirasi daripada dongeng serta mitologi Nordik. Ia merupakan watak utama dalam siri buku bergambar The Monsters, yang menampilkan rekaan unik gabungan makhluk fantasi, elf, dan ‘monsters’.
Pada peringkat awal, figura Labubu dihasilkan secara terhad oleh jenama seni Hong Kong, How2Work. Perubahan besar berlaku pada tahun 2019 apabila Pop Mart memperoleh lesen eksklusif untuk menghasilkan Labubu dalam format blind box. Dari sinilah, Labubu berkembang daripada karya seni niche kepada fenomena antarabangsa.

Sohor Kini Sehingga Menjadi Fenomena Global
Sebagai sebuah jenama yang tidak asing lagi dalam dunia figura, Pop Mart terkenal dengan strategi pemasaran kotak misteri yang menawarkan elemen kejutan kepada pembeli. Setiap kotak menyimpan rekaan berbeza, termasuk variasi “rare” yang lebih sukar diperoleh, menjadikan pengalaman membeli lebih mendebarkan.
Kejayaan Pop Mart bukan hanya terletak pada aspek jualan, malah turut diiktiraf di peringkat antarabangsa. Syarikat ini pernah disenaraikan antara yang paling berinovasi di Asia, dengan kehadiran kedai di lebih 30 negara dan ratusan kiosk automatik.

Malah, menurut The Wall Street Journal, Pop Mart mencatatkan jualan sehingga USD 1.8 bilion pada tahun 2024, menandakan bahawa fenomena ini telah melepasi status trend sementara dan berkembang menjadi budaya koleksi moden.
Kini, terdapat lebih 300 variasi Labubu dalam pelbagai corak, saiz dan julat harga – bermula sekitar RM50 sehingga mencecah RM4,000 bagi edisi jarang ditemui.

Kejayaan ini turut mendorong pelbagai jenama lain seperti Miniso, dan juga jenama FMCG tempatan seperti ZUS Coffee, Secret Recipe untuk melancarkan versi kotak misteri masing-masing, sekaligus memperluaskan fenomena ini ke pasaran yang lebih luas.