KLFW 2025 Menutup Tirai Dengan Barisan Koleksi Ikonik Dari Pereka Fesyen Tempatan

August 15, 2025
Fesyen

Lina Rosli

Kuala Lumpur Fashion Week (KLFW) telahpun menutup tirai edisi ke-13 mereka dengan penuh gaya, yang mana ia menayksikan lebih 15,000 tetamu yang hadir ke ruang iknik mereka di Esplanade, KLCC Park.

Untuk pengetahuan anda, ini merupakan tahun kedua KLFW diadakan di KLCC Park yang mana apa yang menarik pada tahun ini, pentas pertujukan menampilkan struktur yang unik.

Dengan kerjasama Suria KLCC dan KLCC (Holdings) Sdn Bhd, KLFW menampilkan struktur monokrom berfasa tunggal dengan rekaan grafik luaran yang segar – saiz pentas yang juga kini lebih besar yang mana pada tahun 2025, ia mampu memuatkan sehingga 520 tetamu pada satu masa.

Berlatarbelakangkan Menara Berkembar Petronas, KLFW25 mempersembahkan gabungan pereka berpengalaman, pendatang baharu dan juga jenama fesyen mapan dalam 29 pertunjukan.Di atas pentas hitam yang elegan, penonton disajikan variasi gaya – daripada koleksi berteraskan warisan, rekaan klasik moden, potongan deconstructed yang berani sehinggalah kepada busana couture yang mencuri perhatian.

Antara detik menarik pada tahun ini termasuklah kemasukan kembali Ezzati Amira di atas pentas peragaan, bersama-sama beberapa pereka fesyen terkenal tempatan seperti Fiziwoo dan juga Teh Firdaus.

Selain itu, jenama kasut sukan global Skechers turut tidak ketinggalan dalam menawarkan koleksi yang unik menerusi gabungan bersama Min Luna.

Tidak hanya itu, Suria KLCC turut berkerjasama dengan artisan songket terkenal Sofia Iman dan lapan lagi pereka tempatan dalam mengangkat fabrik tradisional ke pentas kotemporari.

KLFW 2025 turut menyaksikan debut Radzuan Radziwill, segmen “Denim Reimagined” oleh Levi’s bersama 13 pereka, serta pertunjukan bergaya dari Farah Khan dan The Melium Group. AirAsia pula memperkenalkan segmen “Design to Sustain” dengan uniform baharu menggunakan bahan kitar semula.

Antara sorotan lain termasuk koleksi “Perahu Kertas” oleh Hatta Dolmat, persembahan moden Muni x NKhan menggunakan pewarna semula jadi, serta penampilan vivo V60 di pentas Kit Woo. Laurier mempersembahkan label What To Wear, manakala Rizman Ruzaini meraikan ulang tahun ke-20 dengan pertunjukan berganda. BEHATI memukau dengan persembahan teaterikal bersama Dato Seri Vida, dan L’Oreal Paris menutup acara Women of Worth Finale dengan penampilan Che Puan Sarimah Ibrahim.

Seperti yang dikongsi oleh pengasas KLFW, Andrew Tan, acara ini bukan lagi sekadar minggu fesyen, tetapi sebuah platform penuh untuk memacu industri fesyen ke hadapan. Dengan sambutan Tahun Melawat Malaysia 2026 yang semakin hampir, dunia fesyen tempatan pastinya menantikan edisi seterusnya yang lebih besar dan berani.

© 2025 Amanz Media Sdn Bhd