Dalam era digital masa kini, penggunaan jam tangan penggunaan jam tangan pintar semakin menjadi trend dalam kalangan pengguna global. Jika dahulu jam tangan hanya dipakai sebagai penunjuk masa atau aksesori fesyen, kini ia telah berevolusi menjadi peranti pelbagai fungsi yang mampu membantu individu mengurus jadual harian, memantau tahap kesihatan, serta meningkatkan produktiviti.
Seiring dengan perkembangan ini, Samsung memperkenalkan Samsung Galaxy Watch8, model terbaharu dalam siri jam pintarnya yang bukan sahaja tampil dengan rekaan lebih segar, malah turut dilengkapi dengan teknologi terkini termasuk integrasi Galaxy AI.
Jadi, untuk mengetahui adakah jam tangan pintar dari Samsung ini benar-benar menarik atau sebaliknya, mari terokai pengalaman saya ketika menggunakan Samsung Galaxy Watch8 ini selama tempoh sekitar 3 minggu.

Pandang Pertama Samsung Galaxy Watch8
Jujurnya, di kebanyakan waktu, saya lebih gemar untuk menggunakan jam tangan analog – kerana ia terasa lebih ringkas dan mudah selain hanya sekadar berfungsi untuk menunjukkan waktu. Namun, apabila berpeluang mencuba Samsung Galaxy Watch8, pengalaman tersebut benar-benar membuka mata saya tentang bagaimana sebuah jam tangan pintar boleh menjadi “pembantu peribadi” di pergelangan tangan.
Untuk pengetahuan anda, Samsung Galaxy Watch8 hadir dalam dua pilihan saiz iaitu 40mm dan 44mm — yang mana memberi fleksibiliti kepada pengguna untuk memilih mengikut keselesaan pergelangan tangan. Dan disebabkan saya mempunyai saiz pergelangan tangan yang kecil iaitu sekitar 14cm, makan Samsung Galaxy Watch versi 40mm ini adalah lebih sesuai – ia terasa seimbang serta tidak terlalu berat untuk dipakai sepanjang hari.

Dari segi rekaan luarannya, ia hadir dengan kemasan logam yang kukuh dan bezel yang lebih nipis berbanding generasi sebelumnya. Skrin AMOLED juga lebih terang, memudahkan bacaan walaupun di bawah matahari terik.
Untuk model ini, Samsung menawarkan dua pilihan warna iaitu Graphite dan juga Silver. Bagi anda yang menggemari gaya yang lebih minimalis dan sedikit ceria, pilihan warna yang terang adalah lebih sesuai kerana ia lebih mudah untuk dipadankan bersama gaya harian.
Mengenai rekaan jam tangan ini lagi, ia hadir dengan tali jenis silikon yang lembut dan mudah untuk dibentukkan – menjadikannya lebih selesa untuk dipakai tanpa menyebabkan kejanggalan sepanjang tempoh pemakaian.

Skrin Bulat Dengan Navigasi Mudah
Bukan itu sahaja, untuk Samsung Galaxy Watch8 masih mengekalkan skrin bulat ikonik Samsung, lengkap dengan dua butang di sisi untuk navigasi pantas. Malah, jika dibandingkan dengan model Watch7 sebelum ini, Galaxt Watch8 hadir dengan bezel yang nipis membuatkan paparan terasa lebih luas, dan ini penting ketika membaca notifikasi atau melihat peta.

Skrin sentuhnya juga cukup responsif. Dan apa yang menarik, sama seperti model telefon pintarnya, Samsung turut menggunakan skrin jenis Gorilla Glass yang tahan lasak – sekaligus memberi keyakinan untuk digunakan di luar rumah tanpa terlalu risau tentang calar.
Dan salah satu ciri yang paling saya suka ialah kebolehan menggunakan Google Maps terus di jam. Ia cukup praktikal bagi individu yang sering berjalan kaki di kawasan bandar atau kerap menggunakan pengangkutan awam. Ini kerana pengguna tidak perlu lagi kerap mengeluarkan telefon, cukup dengan melihat pergelangan tangan untuk mendapatkan arah jalan.

Ciri Kesihatan Lebih Pintar Dengan Galaxy AI
Salah satu kelebihan utama Samsung Galaxy Watch8 ialah kemampuannya untuk meningkatkan produktiviti walaupun dalam keadaan bergerak. Pengguna tidak lagi perlu mengeluarkan telefon hanya untuk menyemak mesej atau mengikuti perkembangan berita terkini, semua maklumat penting boleh diakses terus melalui pergelangan tangan.
Pada tahun 2025 ini juga, Samsung meletakkan fokus besar pada aspek kesihatan, dan Galaxy Watch8 membawa kemaskini ketara dalam penjejakan aktiviti harian. Jam tangan pintar ini dilengkapi sensor BioActive generasi baru yang boleh memantau degupan jantung, tekanan darah, kadar oksigen dalam darah, dan komposisi badan seperti BMI, lemak, otot dan tahap air dalam badan.
Bukan itu sahaja, ia juga dilengkapi dengan Gemini AI yang membolehkan pengguna mendapatkan analisis corak tidur pengguna dan memberikan skor tenaga setiap pagi, sekaligus membolehkan pemantauan kesejahteraan secara menyeluruh. Jam ini juga mencadangkan waktu tidur optimum dan memberikan peringatan lembut apabila tiba masa untuk berehat, menjadikannya sebagai alat sokongan gaya hidup sihat yang komprehensif.

Pemantauan kesihatan jantung juga dijalankan secara berterusan, termasuk perbandingan bacaan kardiovaskular dengan nilai asas, bagi mengesan tanda-tanda tekanan yang berlebihan. Tambahan lagi, jam ini turut mengukur AGEs index, membolehkan pengguna menilai risiko kesihatan jangka panjang berkaitan metabolik.
Selain daripada pemantauan fizikal, Galaxy Watch8 juga menyokong kesejahteraan mental. Melalui aplikasi Samsung Health, pengguna boleh mengakses panduan meditasi serta latihan pernafasan. Fungsi-fungsi ini membolehkan pengguna mengurus tekanan dengan lebih berkesan, seterusnya meningkatkan keseimbangan antara produktiviti dan kesihatan mental.
Dengan gabungan ciri-ciri ini, Galaxy Watch8 bukan sahaja menjadi jam pintar, tetapi juga pembantu peribadi yang menyeluruh untuk gaya hidup moden.

Bukan itu sahaja, apa yang menarik juga, jam tangan pintar ini turut hadir dengan ciri penjejakan tekanan (stress tracking) yang juga sangat membantu.
Untuk ciri ini, saya pernah mendapat notifikasi dari Samsung Galaxy Watch8 saya yang mana iamenyarankan supaya menarik nafas dalam-dalam disebabkan oleh bacaan yang tinggi untuk paras tekanan saya. Walaupun nampak kecil, peringatan sebegini membantu menjaga kesihatan mental.

Akses Terus Aplikasi Dari Jam Tangan Pintar
Selain kesihatan, Galaxy Watch8 juga hadir dengan ciri dan fungsi yang membolehkan saya menerima notifikasi mesej, menjawab panggilan, menukar lagu, dan mengawal kamera telefon semuanya dari pergelangan tangan.
Untuk pengetahuan anda, Samsung Galaxy Watch8 ini menjalankan sistem operasi One UI 8 Watch berasaskan Wear OS 6 menjadikan navigasi lancar dan intuitif, serta membolehkan penggunaan aplikasi seperti Google Maps, kawalan muzik, dan pembacaan notifikasi terus dari jam.

Menerusi integrasi bersama telefon Samsung, ia sedikit sebanyak membuatkan pengalaman penggunaan lebih lancar. Contohnya, apabila saya menetapkan penggera di telefon, ia akan terus diselaraskan di jam.
Bukan itu sahaja, ketika berjoging, saya juga boleh mengawal senarai lagu di Spotify tanpa perlu mengeluarkan telefon. Begitu juga ketika menggunakan Google Maps — arahan perjalanan boleh dilihat terus di skrin jam, menjadikan perjalanan lebih mudah dan selamat.
Namun, harus diingatkan bahawa untuk Samsung Galaxy Watch8 boleh diaktifkan menggunakan peranti Samsung sahaja – yang mana ia tidak boleh digunakan bersama peranti Android lain ataupun Apple.

Prestasi Bateri Dan Pengecasan
Dari segi ketahanan bateri, Samsung Galaxy Watch8 hadir dengan bateri berkapasiti 325mAh bagi model 40mm dan 435mAh bagi model 44mm.
Untuk penggunaan biasa seperti menerima notifikasi, memantau langkah harian serta pemantauan kesihatan asas, baterinya mampu bertahan sehingga 40 jam iaitu sekitar dua hingga tiga hari. Namun, sekiranya fungsi intensif seperti penjejakan GPS digunakan secara berterusan, jangka hayat bateri akan berkurangan dan pengecasan harian mungkin diperlukan.

Proses pengecasan juga agak efisien, di mana pengecas nirwayar WPC mampu mengembalikan bateri kepada tahap penuh dalam anggaran masa satu setengah jam. Cuma satu perkara yang saya rasa kurang praktikal ialah ia tidak menyokong pengecasan Qi biasa.
Jadi, setiap kali keluar untuk tempoh yang lama, saya perlu pastikan pengecas asal dibawa bersama di dalam beg.
Harga Jualan Samsung Galaxy Watch8
Mengenai harga jualan pula, Samsung Galaxy Watch8 ditawarkan bermula sekitar RM1,299 untuk model 40mm dan RM1,399 untuk model 44mm, menjadikannya berada dalam kategori premium tetapi masih kompetitif berbanding jenama lain dalam segmen jam tangan pintar.
Ia juga hadir dengan dua pilihan varian iaitu varian dengan sambungan LTE dan juga sambungan WiFi.

Adakah Galaxy Watch8 Sesuai Untuk Anda?
Jawapan ini bergantung pada keperluan peribadi. Jika anda mencari jam pintar dengan gabungan reka bentuk elegan, ciri kesihatan yang komprehensif dan integrasi AI yang membantu, Samsung Galaxy Watch8 adalah pilihan tepat.
Bagi wanita atau pengguna dengan pergelangan tangan kecil, versi 40mm adalah pilihan terbaik kerana lebih ringan dan selesa. Manakala untuk mereka yang mahukan paparan lebih besar, 44mm memberikan ruang paparan yang luas untuk membaca teks dan peta.

Samsung Galaxy Watch8 juga bukan sekadar peningkatan kecil daripada generasi sebelumnya, tetapi satu langkah besar dalam menjadikan jam pintar lebih pintar, berguna,dan relevan dalam kehidupan harian.
Bagi saya sendiri, ia adalah pengalaman pertama yang membuka mata bahawa jam tangan hari ini boleh melakukan lebih daripada sekadar memberitahu waktu. Dengan reka bentuk premium, ciri kesihatan yang dipertingkatkan, dan integrasi AI, Galaxy Watch8 membuatkan saya tidak lagi memandang jam tangan sebagai sekadar aksesori — tetapi sebagai pembantu peribadi yang sentiasa ada di pergelangan tangan.