Mengapa Isnin Dikaitkan Dengan ‘Blues’?
Lina Rosli
Setiap kali tibanya Isnin, ramai yang akan mula rasa berat, lesu dan tidak bersemangat. Fenomena ini sering digelar sebagai Monday blues. Tetapi persoalannya – betul ke ia wujud, atau sekadar alasan kita untuk tidak bermotivasi?
Sebenarnya, Monday blues ini wujud. Namun, ia bukan penyakit, tetapi lebih kepada reaksi badan dan emosi terhadap perubahan rutin. Ini kerana pada setiap hujung minggu, individu cenderung untuk tidur lebih lewat, bangun sedikit lambat dan bebas buat aktiviti yang menyeronokkan.
Jadinya, apabila tiba hari Isnin, tubuh dan mindset individu seakan terkejut dengan peralihan kembali ke jadual kerja atau belajar yang lebih ketat. Walaupun tidak dikategorikan sebagai satu keadaan klinikal, ia tetap memberi kesan kepada emosi, produktiviti dan kesejahteraan seseorang.

Apakah Punca Utama Monday Blues?
Seperti yang dinyatakan sebelum ini, punca utama Monday Blues biasanya berkait rapat dengan peralihan mendadak daripada suasana santai hujung minggu kepada tekanan tugasan dan jadual kerja yang padat. Badan kita juga mempunyai jam biologi tersendiri, dan perubahan waktu tidur yang tidak konsisten ketika hujung minggu boleh menyebabkan gangguan pada pola tidur. Apabila kualiti tidur terjejas, tahap tenaga dan fokus pada hari Isnin turut menurun.
Selain itu, faktor psikologi seperti tekanan kerja, tugasan yang tertangguh, atau rasa kurang bermotivasi dengan rutin sedia ada juga menyumbang kepada perasaan ini. Tidak hairanlah, bagi sesetengah individu, Isnin dilihat sebagai hari yang “berat” untuk dimulakan.
Bagaimana Cara Untuk Mengurangkan Rasa Monday Blues?
Secara umumnya, Monday blues sebenarnya boleh diuruskan dengan beberapa langkah mudah. Salah satunya ialah mengekalkan waktu tidur yang konsisten walaupun pada hujung minggu. Ramai yang cenderung tidur lewat pada malam Sabtu dan Ahad kerana ingin “mengganti” masa rehat, namun kebiasaan ini membuatkan tubuh sukar menyesuaikan diri apabila tiba pagi Isnin. Dengan mengekalkan pola tidur yang stabil, badan lebih bersedia untuk kembali aktif tanpa rasa lesu.

Selain itu, membuat perancangan awal untuk minggu baharu juga membantu mengurangkan tekanan. Menyusun tugasan pada malam Ahad atau awal pagi Isnin memberi gambaran jelas tentang apa yang perlu dicapai, sekaligus menjadikan permulaan minggu terasa lebih teratur.
Langkah kecil lain yang juga boleh diamalkan termasuklah menyelitkan aktiviti ringan yang menyeronokkan. Misalnya, bersarapan bersama rakan sekerja boleh mencetuskan mood positif, atau mendengar muzik kegemaran ketika dalam perjalanan ke tempat kerja memberi suntikan semangat. Walaupun nampak ringkas, rutin sebegini mampu memberi kesan besar terhadap emosi dan tahap motivasi pada awal minggu.
Akhirnya, apa yang penting adalah bagaimana kita menyesuaikan diri dengan peralihan ini. Menjadikan Isnin sebagai permulaan baharu dengan sikap positif boleh membantu mengurangkan rasa ‘blues’ dan menambah baik produktiviti sepanjang minggu.