Universiti Utara Malaysia (UUM) Memperkenalkan Koleksi Eksklusif Tali Leher & Tudung Bawal
Lina Rosli
Universiti Utara Malaysia (UUM) terus mengukuhkan identiti korporatnya dengan memperkenalkan koleksi baharu melalui UUM Merchandise Collection (UMC). Kali ini, warga kampus dan orang ramai berpeluang mendapatkan tudung bawal serta tali leher eksklusif UUM yang dilancarkan baru-baru ini di Sintok.
Dari segi rekaan, ia menampilkan dua pilihan corak untuk tudung – satu dengan elemen bintang dan satu tanpa corak yang mana kedua-duanya menggunakan warna biru royal dan jalur kuning sebagai warna utama. Manakala untuk tali leher pula, ia menggunakan elemen bintang kecil sebagai corak utama.

Menurut Prof. Dr. Ahmad Martadha, pengenalan koleksi ini bukan sahaja memenuhi keperluan pengguna, malah ia menjadi sebahagian daripada usaha memupuk semangat kekitaan dalam kalangan warga universiti.
Bukan itu sahaja, ia turut bertujuan untuk menggalakkan warga UUM berbangga membawa identiti universiti ke mana sahaja mereka berada.

Menariknya, koleksi ini ditawarkan pada harga mampu milik dan boleh diperoleh di UMC Boutique yang terletak di Varsity Mall, UUM. Dengan pilihan praktikal dan eksklusif, ia bukan sekadar barangan cenderamata tetapi juga boleh digayakan dalam kehidupan seharian.
Buat masa ini, pembelian secara atas-talian belum lagi dibuka – namun dijangka akan diperkenalkan dalam masa dua hingga tiga bulan yang mendatang.