CHAGEE X Muzium Tekstil Negara – Warisan Seni Telepuk Diabadikan Pada Siri Minuman Seri Tea-Jau

August 21, 2025
Makanan & Minuman

Lina Rosli

Bersempena ulang tahun keenam CHAGEE Malaysia, jenama minuman teh premium ini mengangkat warisan tempatan melalui kerjasama dengan Muzium Tekstil Negara.

Melalui inisiatif ini, ia diraikan dengan mengetengahkan seni tekstil tradisional Telepuk, satu teknik hiasan emas pada kain yang melambangkan kehalusan seni warisan Melayu.

Bagi yang tidak mengetahui, telepuk merupakan teknik tradisional yang menggunakan daun emas untuk menghasilkan motif flora dan corak hiasan pada kain. Proses ini dilakukan dengan menekap acuan kayu atau sarang telepuk yang disapu daun emas bersama gam arabic.

Dalam sejarah, kain telepuk digunakan sebagai pakaian golongan bangsawan dan kerabat diraja di Tanah Melayu. Penghasilan satu helaian kain telepuk melibatkan beberapa peringkat pertukangan, termasuk menenun kain, menggilapnya (gerus), mengukir acuan telepuk, dan akhirnya menempel motif keemasan tersebut.

Kolaborasi CHAGEE x Muzium Tekstil Negara

Melalui kolaborasi ini, CHAGEE mempersembahkan koleksi rekaan khas yang menggabungkan motif telepuk daripada Muzium Tekstil Negara bersama identiti budaya teh mereka. Antara rekaan yang diperkenalkan termasuk:

  • Cawan milk tea edisi khas
  • Beg kertas mesra alam
  • Barangan eksklusif bertemakan telepuk

Rekaan ini mengetengahkan elemen flora dan botani dengan sentuhan keemasan, digabungkan bersama unsur inspirasi Tea Horse Road dan huruf ‘C’ ikonik CHAGEE. Warna hijau melambangkan kesegaran dan keaslian teh, manakala emas membawa simbol kemewahan, keanggunan dan penghormatan kepada warisan tempatan.

Sempena sambutan ulang tahun ini, CHAGEE turut melancarkan siri minuman baharu iaitu Seri Tea-jau. Nama ‘Seri’ merujuk kepada sinaran keindahan Telepuk emas, manakala ‘Tea-jau’ ialah permainan kata daripada perkataan ‘hijau’, melambangkan kesegaran daun teh.

Minuman ini menggunakan daun teh Tie Guan Yin yang menghasilkan rasa lembut dengan nota herba tanah yang seimbang. Aromanya pula menampilkan haruman flora dan oolong yang halus, sementara teksturnya berkrim dengan rasa penuh berisi.

Melalui kempen ini, CHAGEE bukan sahaja memperkenalkan produk minuman baharu, malah turut berperanan sebagai jambatan yang menghubungkan warisan budaya dengan gaya hidup moden.

Usaha ini memberi peluang kepada masyarakat untuk lebih dekat dengan seni tekstil tradisional Malaysia, sambil meraikan kecintaan terhadap teh.

© 2025 Amanz Media Sdn Bhd