ZUS Coffee Kini Buka Dua Cawangan Di Bangkok
Lina Rosli
Selepas pembukaan cawangan pertama di Filipina pada tahun 2023, kini ZUS Coffee sekali lagi melangkah satu tapak ke hadapan menerusi pembukaan cawangan luar Malaysia mereka – iaitu di Bangkok, Thailand.
Dengan perluasan penawaran ZUS Coffee di negara serantau, ia bukan sahaja memperkukuhkan kedudukan jenama mereka, tetapi juga menandakan fasa baharu dalam strategi pengembangan jenama tersebut yang telah diumumkan awal tahun ini.

Untuk pengetahuan anda, cawangan baharu ZUS Coffee di Bangkok terletak di Varnish Place Ari, sebuah destinasi gaya hidup popular di Bangkok, serta Baan Kampu Asoke di Sukhumvit 21 Road.
Langkah masuk ke pasaran Thailand ini adalah sebahagian daripada pelan besar ZUS Coffee untuk membuka 200 cawangan baharu di Asia Tenggara pada tahun 2025. Daripada jumlah tersebut, syarikat menyasarkan sekurang-kurangnya 107 cawangan baharu di Malaysia, sekitar 80 di Filipina, dan enam di Singapura, selain pengembangan seterusnya di Thailand, Brunei dan Indonesia.
Minuman Paling Popular ZUS Coffee Di Thailand
Menurut ZUS Coffee, menu minuman yang ditawarkan di Bangkok direka khas untuk menepati cita rasa masyarakat tempatan – berkrim, sedikit manis, menyegarkan – selain turut mudah dinikmati dalam cuaca panas tropika.


Antara pilihan utama termasuk:
- Spanish Latté – Kopi berkrim dengan kemasan lembut, sesuai untuk mereka yang gemarkan rasa manis tetapi tidak pahit.
- Gula Melaka Latté – Perisa ikonik Asia Tenggara dengan kemanisan seperti toffee daripada gula Melaka yang digabungkan dengan espresso.
- Seasalt Brown Sugar Latté – Campuran kopi dengan krim gula perang dan sedikit garam laut, memberikan keseimbangan rasa yang unik serta tampak menarik untuk dikongsi di media sosial.
- Matcha Craze – Teh hijau pekat dengan tekstur lembut, digemari oleh pengguna yang lebih mementingkan pilihan minuman sihat.
- ZUS Lemonade & Mocktails – Minuman berasaskan buah, berkilauan dan tanpa kafein, sesuai untuk mereka yang mahukan kesegaran ringan dalam iklim panas.
Walaupun fokus utama adalah minuman, ZUS Coffee Thailand turut menawarkan snek ringan seperti croissant, cheese bun, chicken puff, sausage roll, mini cheesecake dan donut.
Ditubuhkan pada tahun 2019, ZUS Coffee dikenali sebagai rangkaian kopi speciality pada harga mampu milik. Jenama ini mencatat pertumbuhan pesat dengan lebih daripada 700 cawangan di Malaysia pada 2025.