BYD Seal 2025 Kini Dilancarkan Pada Harga Bermula RM171,800
Lina Rosli
BYD hari ini telah membuat tiga pengumuman penting yang menandakan langkah besar mereka dalam memperkukuh kehadiran di pasaran Malaysia.
Antara pengumuman utama yang dikongsikan ialah mengenai pembinaan kilang pemasangan tempatan di Tanjung Malim yang dijadualkan beroperasi pada tahun 2026. Kilang dengan keluasan 600,000 kaki persegi itu bakal menjadi pusat strategik untuk memenuhi permintaan kenderaan elektrik di rantau ini, sekali gus mengukuhkan kedudukan Malaysia sebagai hab pengeluaran automotif.

Selain itu, BYD turut merasmikan pusat 3S terbesar mereka di Malaysia yang terletak di Balakong. Dengan pembukaan fasiliti ini, jumlah keseluruhan pusat 3S BYD di seluruh negara kini meningkat kepada 36 buah, sekaligus memperluaskan rangkaian perkhidmatan jualan, servis, dan sokongan selepas jualan kepada para pelanggan.
Pelancaran Model BYD Seal Baharu – Hadir Dengan 2 Pilihan Varian
Pada masa yang sama, BYD juga memperkenalkan model baharu bagi BYD Seal yang tampil dengan rekaan lebih segar dan prestasi dipertingkatkan.


Model ini hadir dalam dua varian iaitu Premium dan Performance. Varian Premium menawarkan jarak pemanduan sehingga 650 kilometer dengan keupayaan pecutan 0 hingga 100 kilometer sejam dalam masa 5.9 saat, manakala varian Performance pula menawarkan jarak pemanduan sehingga 580 kilometer dan mampu mencapai kelajuan 0 hingga 100 kilometer sejam hanya dalam masa 3.8 saat.
Kedua-duanya menggunakan bateri BYD Blade Battery berkapasiti 82.56kWh, namun dibezakan dengan konfigurasi drivetrain, di mana varian Premium menggunakan pacuan roda belakang manakala varian Performance hadir dengan pacuan semua roda.


Dari segi rekaan luaran, Seal baharu ini dilengkapi dengan bumbung panoramik yang boleh disesuaikan mengikut keperluan menggunakan tirai suria elektrik serta rim aloi bersaiz 19 inci.
Sementara pada bahagian dalamannya pula menampilkan skrin berukuran 15.6 inci yang boleh dipusingkan, kemudahan pengecasan tanpa wayar serta kunci digital BYD Digital Key yang boleh dihubungkan melalui NFC atau Bluetooth.




Apa yang menarik juga, kedua-dua varian juga hadir dengan empat pilihan warna termasuk satu warna baharu yang dinamakan Shark Grey.
Bagi pasaran tempatan, BYD Seal Premium ditawarkan pada harga bermula RM171,800 manakala varian Performance dijual pada harga RM191,800.