KLK TechPark Tanjong Malim Pacu Industri EV Perak Dengan Kehadiran Kilang Pemasangan BYD Menjelang 2026

August 25, 2025
Automotif

Lina Rosli

Negeri Perak melakar satu lagi pencapaian penting dalam usaha transformasi ekonominya apabila syarikat kenderaan elektrik global, BYD Company Limited (BYD) mengumumkan penubuhan kilang pemasangan automotif pertamanya di Malaysia yang terletak di KLK TechPark, Tanjong Malim.

Menerusi langkah ini, ia sedikit sebanyak mengukuhkan visi negeri Perak untuk menjadikan Tanjong Malim sebagai pusat automotif utama negara dan tarikan pelaburan bernilai tinggi.

Kehadiran BYD dijangka menjadi pemangkin kepada pertumbuhan sektor kenderaan elektrik (EV) Malaysia. Selain mencipta peluang pekerjaan baharu, kilang ini juga akan membawa pemindahan teknologi, meningkatkan kepakaran dalam pembuatan EV, dan menggalakkan pembangunan industri sokongan.

Kilang ini akan dibangunkan di dalam KLK TechPark, sebuah hab perindustrian bersepadu seluas 1,500 ekar oleh KLK LAND yang direka khas untuk menarik pelaburan berteknologi tinggi serta memacu pertumbuhan sektor pembuatan hijau.

Sebagai penyewa utama fasa pertama, BYD akan mengambil 150 ekar tanah yang mana akan membangunkan kilang yang berkeluasan sekitar 600,000 persegi. Fasa-fasa seterusnya pula akan memberi ruang kepada vendor dan perniagaan lain untuk membina ekosistem automotif yang lengkap dan berdaya saing.

Perkembangan ini selari dengan strategi negeri di bawah Perak Sejahtera 2030 Plan dan Rancangan Struktur Negeri Perak 2040, yang menggariskan sektor industri dan pembuatan sebagai antara keutamaan utama dalam memacu pembangunan sosioekonomi negeri.

© 2025 Amanz Media Sdn Bhd