CeraVe Hadir Dengan Rangkaian Produk Blemish Control – Tangani Masalah Jerawat Dan Parut
Lina Rosli
Masalah jerawat sering dianggap isu kosmetik semata-mata, namun hakikatnya ia memberi kesan yang lebih besar terhadap keyakinan diri, interaksi sosial dan juga kesihatan mental. Malah, kajian menunjukkan 58% remaja di seluruh dunia yang berdepan masalah jerawat berasa terpinggir akibat tanggapan negatif terhadap penampilan mereka.
Memahami kesan mendalam ini, CeraVe sebagai jenama penjagaan kulit yang dibangunkan bersama pakar dermatologi – kini melancarkan rangkaian terbarunya iaitu CeraVe Blemish Control secara rasmi di Malaysia.

Formula Khusus Untuk Jerawat Dan Parut
Rangkaian baharu ini diformulasikan khusus untuk mengawal jerawat aktif, memudarkan parut, dan dalam masa sama memelihara lapisan pelindung kulit.
Setiap produk mengandungi kombinasi bahan aktif yang dipercayai pakar dermatologi seperti asid salisilik, retinol berkapsul, niasinamida, serta tiga jenis seramida penting yang menyerupai seramida semula jadi kulit.
Antara produk yang diperkenalkan termasuk:
- CeraVe Blemish Control Cleanser – Pembersih gel-to-foam dengan 2% asid salisilik dan tanah liat pemurni untuk membuka liang pori dan mengawal minyak berlebihan tanpa mengeringkan kulit.
- CeraVe Blemish Control Gel – Formula AHA + BHA yang bertindak mengurangkan sel kulit mati di permukaan dan dalam pori, membantu mendapatkan kulit lebih licin.
- CeraVe Resurfacing Retinol Serum – Serum ringan dengan retinol berkapsul yang mempercepatkan pembaharuan sel, membantu mengurangkan parut jerawat dan meratakan tekstur kulit dengan risiko iritasi yang minimum.
Kesemua produk turut diperkaya niasinamida untuk menenangkan kulit serta mengurangkan keradangan.

Pameran Bersama Watsons Malaysia
Sempena pelancaran ini, CeraVe menganjurkan pameran di Blue Atrium, Aras Bawah, Sunway Pyramid dari 25 Ogos hingga 1 September 2025. Pengunjung boleh mendapatkan konsultasi daripada pakar perunding, mencuba rangkaian terbaru Blemish Control serta menyertai zon pengalaman untuk memenangi hadiah eksklusif.
Dengan pelancaran ini, CeraVe berharap dapat memberikan penyelesaian menyeluruh untuk mereka yang berdepan kitaran jerawat – daripada pencegahan, rawatan hinggalah penjagaan pasca-jerawat.