Pandang Pertama Smart #5 – Menampilkan Gabungan Gaya, Kuasa Dan Teknologi

August 28, 2025
Automotif

Lina Rosli

Smart, jenama automotif yang sinonim dengan rekaan kompak dan moden, kini memperkenalkan sebuah model baharu yang lebih matang dan berani iaitu Smart #5.

Model ini hadir dalam dua varian utama iaitu Premium dan Brabus, yang mana masing-masing menawarkan keseimbangan antara keselesaan, prestasi serta teknologi canggih yang disesuaikan dengan gaya hidup pemandu masa kini.

Bagi yang tidak mengetahui, sebelum kemunculan Smart #5, jenama ini telah melancarkan dua model elektrik utama iaitu Smart #1 dan Smart #3. Smart #1, yang diperkenalkan pada tahun 2022, merupakan SUV kompak elektrik pertama selepas kerjasama Smart dengan Geely.

Setahun kemudian, Smart memperkenalkan Smart #3 dengan bentuk SUV coupe yang lebih panjang dan sporty, dilengkapi prestasi lebih tinggi termasuk varian Brabus yang mampu memecut dari 0-100km/j dalam hanya 3.7 saat.

Jika dibandingkan, Smart #5 tampil sebagai evolusi besar dalam siri ini, dengan bateri lebih besar dan menawarkan ruang kargo yang lebih luas, ia sekaligus menjadikannya lebih serba boleh berbanding model terdahulu yang lebih tertumpu kepada gaya hidup bandar.

Reka Bentuk Luaran – Menampilkan Rekaan ‘Boxy’ Yang Unik

Dari segi luaran, Smart #5 menampilkan rekaan yang lebih sofistikated dengan penekanan terhadap perincian moden. Pada bahagian hadapan, ia dipadankan dengan lampu LED putih yang direka dengan grafik ikonik, manakala bahagian belakangnya dilengkapi dengan lampu LED merah yang membentuk jalur cahaya memanjang, sekaligus menonjolkan rupa yang lebih lebar dan kemas.

Model ini turut memperkenalkan pilihan warna baharu iaitu Saturn Beige + Eclipse Black dan juga Pulsar Ruby + Eclipse Black.

Apa yang menarik, warna tersebut menggunakan kemasan dwiwarna yang kelihatan berbeza mengikut pencahayaan – lebih cerah di bawah sinaran matahari, namun tampil lebih gelap dan elegan apabila berada di bawah bumbung atau pada waktu malam. Ciri ini memberikan nilai estetik yang tersendiri, seakan membawa rekaan kereta konsep ke jalan raya.

Keupayaan Bateri Dan Prestasi

Kedua-dua varian Premium dan Brabus dilengkapi dengan bateri berkapasiti 100kWh, membolehkan pengecasan daripada 10% ke 80% diselesaikan hanya dalam masa 15 minit.

Dari segi jarak perjalanan, Smart #5 mampu bergerak sejauh 590km (WLTP) dengan sekali pengecasan penuh, menjadikannya salah satu EV dalam kelasnya yang menawarkan jarak praktikal untuk pemanduan harian mahupun perjalanan jauh.

Untuk varian Brabus, fokusnya lebih kepada prestasi. Ia mampu memecut dari 0 ke 100km/j hanya dalam masa 3.8 saat, dengan kuasa sehingga 475kW serta 750Nm tork.

Sistem pacuan juga membolehkan pertukaran daripada RWD kepada AWD dalam masa hanya 50 milisaat, sesuatu yang memberi kelebihan dari aspek kawalan dan pemanduan berprestasi tinggi.

Mod Pemanduan Dan Ketahanan

Smart #5 menawarkan pelbagai pilihan mod pemanduan yang disesuaikan untuk keperluan berbeza, termasuk Eco Mode, Sport Mode, Comfort Mode, Brabus Mode serta Off-Road Mode. Setiap mod memberikan pengalaman pemanduan yang unik, sama ada untuk penjimatan tenaga, prestasi maksimum atau keselesaan harian.

Selain itu, Off-Road Mode turut menyediakan tetapan tambahan seperti Snow Mode dan Mud Mode, yang membolehkan pemandu menyesuaikan kawalan kenderaan mengikut keadaan jalan serta cuaca, sekali gus meningkatkan fleksibiliti ketika digunakan dalam pelbagai situasi.

Dari aspek ketahanan, Smart #5 dilengkapi dengan pek bateri berkapasiti tinggi yang menyokong jarak pemanduan sehingga lebih 500km dengan sekali pengecasan, bergantung pada mod pemanduan yang digunakan.

Dengan sokongan pengecasan pantas iaitu , pengguna juga boleh menikmati pengisian bateri yang lebih efisien, menjadikannya sesuai untuk pemanduan jarak jauh tanpa perlu terlalu kerap berhenti untuk mengecas. Gabungan mod pemanduan yang pelbagai dan jarak bateri yang mantap ini menjadikan Smart #5 sebagai pilihan praktikal untuk gaya hidup moden.

Dari segi jarak kelegaan tanah (ground clearance), ia hadir dengan ketinggian 197mm, sesuai untuk pemanduan yang lebih lasak atau di permukaan yang tidak rata.

Reka Bentuk Dalaman – Gabungan Kemewahan Dan Keselesaan

Masuk ke bahagian dalaman, Smart #5 dibalut dengan kulit Nappa berkualiti tinggi serta menampilkan kemasan kayu asli (Real Wood) pada papan pemuka, sekaligus memberikan suasana mewah dan eksklusif.

Antara ciri menarik yang diperkenalkan ialah Rear Seat Comfort Zone, diaktifkan melalui BOSS Button yang membolehkan kerusi belakang direbahkan sehingga 10%, lengkap dengan fungsi pemanas.

Tambahan pula, terdapat In-Car Suite/Bed Mode yang menawarkan tiga konfigurasi berbeza – sesuai untuk tilam bersaiz single, double dan juga super large (2.7m x 1.4m). Ciri ini menukar ruang dalaman kereta kepada tempat rehat yang selesa, menjadikannya sesuai untuk perjalanan jauh.

Ruang kargo pula cukup luas dengan kapasiti 1530L, mampu memuatkan sehingga empat bagasi besar secara serentak. Tambahan pula, terdapat ruang simpanan tambahan di bawah hud hadapan berkapasiti 72L, memudahkan pengguna menyimpan barang-barang kecil dengan lebih teratur.

Pada bahagian atas, Smart #5 hadir dengan Powered Sunshield yang dapat mengawal cahaya matahari masuk ke dalam kabin secara automatik, sekali gus meningkatkan keselesaan penumpang.

Teknologi Kokpit & Hiburan

Dari aspek teknologi, Smart #5 dibina berasaskan sistem kokpit pintar yang dikuasakan oleh cip AMD V2000 Supercomputer. Ia hadir dengan dua skrin OLED bersaiz 13 inci, paparan kepala (AR HUD) sebesar 25.6 inci, serta sistem AI pintar yang memberikan pengalaman komunikasi lebih baik antara pemandu dan kenderaan.

Menariknya, skrin kedua pada bahagian penumpang turut menyokong fungsi hiburan seperti penstriman filem atau drama. Paparan ini direka agar tidak mengganggu perhatian pemandu, sekaligus memastikan keselamatan pemanduan tetap menjadi keutamaan.

Untuk aspek hiburan, Smart bekerjasama dengan jenama audio ternama Sennheiser dalam memperkenalkan sistem bunyi Sennheiser Signature Sound System. Sistem ini dilengkapi dengan 20 unit pembesar suara yang ditempatkan secara strategik di sekeliling kabin, termasuk pembesar suara pusat khas yang menghasilkan keseimbangan audio lebih tepat.

Hasilnya, pengalaman mendengar muzik, menonton filem mahupun berkomunikasi dalam kenderaan menjadi lebih imersif dan premium, seakan berada dalam sebuah dewan konsert peribadi yang bergerak.

Apa yang menarik juag, ia turut dilengkapi dengan Soundproof Privacy Glass yang berfungsi mengurangkan bunyi bising dari luar serta mengekalkan privasi di dalam kenderaan. Melengkapkan ciri tersebut ialah sistem lampu ambien lanjutan dengan pilihan sehingga 256 warna, membolehkan pengguna menyesuaikan suasana dalaman mengikut mood, keadaan atau gaya pemanduan mereka.

Sistem Keselamatan dan Bantuan Pemandu (ADAS)

Aspek keselamatan juga menjadi keutamaan. Smart #5 dilengkapi dengan sistem ADAS (Advanced Driver Assistance System) yang merangkumi 23 kamera berketepatan tinggi, termasuk 12 kamera radar ultrasonik, 5 radar gelombang milimeter, 6 kamera penglihatan dan 2 kamera pengesanan HD.

Antara ciri yang ditawarkan termasuk Adaptive Cruise Control yang menyesuaikan kelajuan mengikut trafik semasa, Lane Keeping Assist yang memastikan kenderaan kekal dalam lorong, serta Automatic Emergency Braking yang berfungsi membrek secara automatik jika mengesan potensi pelanggaran.

Selain itu, terdapat juga Blind Spot Monitoring dan Parking Assist, menjadikan pemanduan lebih selamat sama ada di lebuh raya atau ketika manuver di kawasan sempit.

Dengan kombinasi ini, Smart #5 bukan sahaja menawarkan keselesaan, tetapi juga keyakinan tambahan kepada pemandu di setiap perjalanan.

Apa Yang Membezakan Varian Brabus dan Premium?

Perbezaan utama antara varian Premium dan Brabus jelas terlihat pada rekaan luarannya. Varian Brabus tampil lebih berani dengan rekaan rim lebih sporty serta aksen merah yang digunakan pada bahagian tertentu seperti bampar dan brek, menjadikannya kelihatan lebih garang dan menonjol.

Sementara itu, varian Premium mengekalkan imej lebih kemas dan elegan dengan garis rekaan ringkas serta kemasan yang lebih halus, sesuai untuk mereka yang mahukan penampilan moden tanpa terlalu menekankan elemen sporty.

Dari segi prestasi, seperti disebutkan, ia menawarkan kuasa lebih tinggi dengan pecutan pantas dan sistem pacuan AWD yang lebih responsif.

Sebaliknya, varian Premium lebih menekankan keselesaan dan gaya hidup, sesuai untuk mereka yang mahukan EV mewah dengan teknologi lengkap tetapi tidak memerlukan kuasa pecutan ekstrem.

Secara keseluruhannya, Smart #5 jelas membawa nafas baharu dalam pasaran kenderaan elektrik dengan menawarkan gabungan antara rekaan ikonik, teknologi canggih, serta prestasi meyakinkan. Sama ada anda memilih varian Premium untuk pengalaman pemanduan selesa atau varian Brabus untuk prestasi lebih sporty, kedua-duanya mempunyai kelebihan tersendiri.

Buat masa ini, tarikh rasmi pelancaran jualan masih belum diumumkan. Namun, ia dijangka tiba di bilik pameran Smart pada bulan Oktober kelak. Dengan segala ciri yang ditawarkan, Smart #5 berpotensi menjadi salah satu EV paling menarik di pasaran tahun ini.

© 2025 Amanz Media Sdn Bhd