Mengapa Tuala Perlu Dibasuh Secara Berasingan?
Lina Rosli
Ramai yang memilih untuk menjimatkan masa dengan mencuci semua pakaian, cadar dan tuala dalam satu muatan mesin basuh. Tambahan pula, mesin basuh moden kini direka dengan kapasiti besar yang membolehkan tabiat ini dilakukan dengan mudah.
Namun hakikatnya, mencampurkan tuala bersama cucian lain boleh membawa lebih banyak keburukan daripada kebaikan. Ia bukan sahaja boleh menyebabkan kotoran dan bakteria tersebar ke pakaian lain, malah menjadikan tekstur tuala lebih cepat rosak.

Mengapa Tuala Tidak Boleh Dicampurkan Dengan Pakaian Lain Sewaktu Cucian?
Tuala merupakan fabrik yang kerap berada dalam keadaan lembap sebelum kembali kering, menjadikannya lebih mudah menyimpan bakteria berbanding pakaian biasa. Oleh sebab itu, tuala memerlukan cucian berasingan menggunakan suhu air yang lebih panas serta kitaran basuhan lebih lama untuk memastikan ia benar-benar bersih.
Jika dicampurkan dengan pakaian lain, bukan sahaja tahap kebersihan tidak terjamin, malah fabrik lain yang tidak tahan suhu tinggi juga boleh menjadi rosak.

Selain faktor kebersihan, sifat fizikal tuala juga memainkan peranan. Tuala lebih berat, tebal, serta mempunyai daya serapan tinggi. Ia juga mudah menghasilkan serabut halus (lint) yang boleh melekat pada pakaian fabrik ringan. Keadaan ini bukan sahaja mempercepatkan kerosakan pakaian, malah menjadikan hasil cucian kurang kemas.
Dengan membasuh tuala secara berasingan, daya serapan tuala dapat dikekalkan, dan pakaian lain juga tidak mudah rosak – selain itu, ia turut mengurangkan risiko penyebaran kotoran atau bakteria.
Bolehkah Jika Tuala Dicuci Bersama Alas Kaki Dan Kain Lap?
Walaupun begitu, terdapat pengecualian tertentu. Tuala boleh dicuci bersama item lain yang mempunyai ketahanan setara, terutamanya fabrik kapas yang lebih tebal seperti alas kaki bilik air, kain lap dapur dan juga kain pembersih.
Mengapa sedemikian? Ini kerana bahan-bahan ini boleh menahan suhu tinggi dan kitaran cucian yang lebih panjang tanpa mengalami kerosakan.

Namun, harus diingatkan juga untuk mengelakkan dari mencampurkan tuala dengan fabrik berbulu halus seperti sweater, kerana serat tuala boleh melekat pada permukaan kain dan membuatkannya kelihatan kusam. Selain itu, jangan campurkan tuala dengan pakaian yang menggunakan zip atau butang logam kerana ia boleh merosakkan tekstur tuala.