Penang Chendul Buka Cawangan Pertama Di Taiwan

September 2, 2025
syarikat

Lina Rosli

Selain terkenal dengan pantai yang indah dan warisan budaya yang kaya, Pulau Pinang juga sinonim dengan syurga makanan jalanan. Salah satu nama besar yang tidak asing lagi ialah Penang Road Famous Teochew Chendul, yang kemudiannya berkembang menjadi rangkaian Penang Chendul.

Pada 1 September 2025 yang lepas, nampaknya jenama pencuci mulut warisan Pulau Pinang ini telah melangkah satu lagi tapak ke hadapan menerusi pengumuman pembukaan cawangan pertama mereka di Taiwan – memilih lokasi pertama mereka di medan selera Far Eastern SOGO Zhongxiao yang terletak di Taipei.

Bagi yang tidak mengetahui, Penang Chendul mula hadir ke dalam pasaran makanan dan minuman ini sejak dari tahun 1936 – yang mana jenama ini diasaskan oleh Tan Teik Fuang sebagai sebuah gerai kecil di Lebuh Keng Kwee, Georgetown. Menurut perkongsian, pengasas jenama ini pada asalnya merupakan seorang tukang kunci. Namun, disebabkan perniagaannya kurang mendapat sambutan, beliau mula menjual cendol di sebuah gerai tolak kecil.

Selepas diwarisi beberapa generasi, jenama ini terus berkembang sehingga memiliki lebih 50 cawangan di Malaysia, dengan menu yang mengekalkan keaslian cendol tradisional di samping penambahan hidangan popular lain seperti asam laksa dan rojak.

Pembukaan cawangan Penang Chendul di Taiwan ini diumumkan menerusi Malaysian Friendship and Trade Centre (MFTC) Taipei, yang menekankan usaha Penang Chendul dalam membawa warisan kulinari Malaysia ke pentas global.

Dengan pembukaan cawangan pertama ini, kehadiran Penang Chendul di Taiwan bukan sahaja menandakan kejayaan sebuah jenama tempatan yang bermula dari gerai jalanan, malah turut memperkukuh potensi makanan tradisional Malaysia untuk diterima di luar negara.

Untuk pengetahuan anda, sebelum Taiwan, Penang Chendul telahpun melebarkan sayap untuk pasaran antarabangsa mereka ke Indonesia – yang mana cendol mereka boleh didapati di Grand Batam Ball di Kepulauan Riau.

Dengan ini, ia dapat dilihat yang mana cendol bukan sekadar pencuci mulut, tetapi simbol warisan kulinari yang mampu menembusi sempadan budaya.

© 2025 Amanz Media Sdn Bhd