Barang Terpakai, Harga Kayangan – Adakah Thrifting Masih Berpatutan?

October 2, 2025
Fesyen

Bat

Jika suatu ketika dahulu thrifting sinonim dengan pilihan berbelanja murah, hari ini situasinya sudah berubah. Dari baju yang terbiar dan tidak lagi dipakai, kini menjadi sebuah identiti yang menjadi gaya inovasi bagi kebanyakan individu pada masa kini.

Bagi yang mungkin aktif di rangkaian media sosial, pastinya anda tertanya-tanya apakah yang dimaksudkan sebagai thrifting? Dan apakah kriteria yang membuatkan seseorang individu itu tidak keberatan untuk mendapatkan sesuatu pakaian dan barangan thrifted pada harga yang tinggi?

Persoalannya, adakah thrifting masih sebuah pilihan menjimatkan, atau sudah menjadi fesyen yang hanya mampu digapai segelintir sahaja?

Apa Itu Thrifting?

Thrifting pada asalnya lahir daripada semangat berjimat. Ia adalah seni mencari harta tersembunyi dalam timbunan pakaian lama, seni memberi nafas kedua kepada sehelai baju yang pernah dimiliki orang lain. Ia juga lambang gaya hidup lestari yang menentang arus fast fashion dengan kitar semula dan kesederhanaan. Bagi pelajar, keluarga berpendapatan rendah atau pencinta fesyen yang ingin bereksperimen, thrifting dahulu menjadi pintu masuk kepada dunia pakaian yang murah tetapi sarat dengan cerita.

Menurut laporan ThredUp 2024 Resale Report, pasaran pakaian terpakai global dijangka mencecah lebih USD 350 bilion menjelang 2030, didorong oleh generasi muda yang lebih sedar terhadap isu alam sekitar. Bagi pelajar, keluarga berpendapatan rendah atau pencinta fesyen yang ingin bereksperimen, thrifting dahulu menjadi pintu masuk kepada dunia pakaian yang murah tetapi sarat dengan cerita.

Namun, semakin ia menjadi budaya popular, semakin jauh ia menyimpang daripada makna asal. Permintaan yang tinggi menjadikan thrifting satu industri yang bernafas laju, dengan harga yang tidak lagi serendah dahulu. Baju yang pernah bernilai beberapa ringgit kini dilelong dengan label vintage dan rare, mencecah ratusan ringgit. Apa yang suatu ketika dahulu hadir sebagai penyelamat poket kini kadangkala terasa sama mahal dengan butik mewah.

Apa Yang Menjadikan Thrifting Ini Semakin Popular?

Ada beberapa sebab utama kenapa thrifting semakin jadi fenomena hari ini. Pertama, faktor ekonomi — harga barangan baharu yang semakin meningkat membuatkan ramai orang mencari alternatif lebih murah. Namun, dalam masa yang sama, thrifting bukan lagi dilihat sekadar jalan menjimatkan, tetapi juga cara mendapatkan barang rare dan vintage yang tak dijual di butik biasa.

Kedua, kesedaran terhadap alam sekitar. Ramai anak muda mula sedar tentang kesan besar fast fashion yang menyumbang kepada pencemaran tekstil. Dengan membeli pakaian terpakai, mereka rasa seolah-olah menyumbang kepada gaya hidup yang lebih lestari. Menurut data global, membeli pakaian terpakai boleh mengurangkan pelepasan karbon sehingga 82% berbanding membeli baharu.

Ketiga, pengaruh media sosial. Ramai pencinta fesyen dan pempengaruh di media sosial berkongsi OOTD thrifted mereka di TikTok atau Instagram, menjadikan thrifting satu gaya hidup yang trendy.

Evolusi Thrifting Masa Kini

Hari ini, thrifting sudah bukan satu bentuk penjimatan semata-mata. Ia bercabang jadi pelbagai gaya. Ada kedai yang masih kekal dengan idea asal — jual pakaian murah dan mampu milik. Ada pula yang berubah jadi pasaran fesyen mewah, dengan harga yang hampir menyamai butik. Malah ada juga yang mencampur barangan palsu, sekadar mengejar untung tanpa memikirkan kejujuran. Semua ini menjadikan thrifting seakan cermin masyarakat moden: bercampur antara keperluan, minat, dan juga ego fesyen.

Walaupun begitu, masih wujud komuniti kecil yang setia dengan mesej asal thrifting. Mereka menjual pada harga berpatutan supaya sesiapa saja boleh bergaya tanpa berhutang. Bagi mereka, nilai sebenar fesyen bukan terletak pada tanda harga, tetapi pada cerita dan pengalaman di sebalik sehelai pakaian.

Akhirnya, persoalan sama ada thrifting masih berbaloi bergantung pada cara kita melihatnya. Untuk yang mencari sekadar penjimatan, mungkin ia sudah tidak semurah dulu. Tetapi untuk pemburu fesyen unik, penggemar barangan berjenama, atau mereka yang peduli pada kelestarian, thrifting tetap berbaloi kerana setiap helaian membawa kisah tersendiri.

Kesimpulannya, thrifting hari ini bukan lagi soal murah atau mahal. Ia soal kebijaksanaan memilih — tahu apa yang asli, apa yang berharga, dan apa yang hanya sekadar trend kosong.

© 2025 Amanz Media Sdn Bhd