Carian
73% Rakyat Malaysia Masih Menjadi Mangsa Penipuan Siber
September 3, 2025 Lina Rosli

Tahukah anda bahawa seramai 85% responden di Malaysia dikatakan berdepan dengan cubaan penipuan dalam tempoh setahun lalu dan 73% daripada mereka akhirnya menjadi mangsa?

Ini berdasarkan data laporan State of Scams in Malaysia 2025 yang diterbitkan oleh Gogolook bersama Global Anti-Scam Alliance (GASA). Laporan itu turut mendedahkan bahawa mangsa menanggung purata kerugian sebanyak RM4,844.70 sepanjang tahun 2024.

Bukan itu sahaja, antara penemuan yang membimbangkan yang lain termasuklah golongan yang dianggap celik teknologi dan berpendidikan tinggi juga tidak terkecuali. Sebanyak 82% mangsa penipuan sebenarnya terdiri daripada individu berpendidikan tinggi, manakala 78% pula adalah daripada golongan milenial.

Dengan ini kita dapat lihat yang mana masalah penipuan ini bukan sahaja berlaku dalam kalangan individu yang buta IT, tetapi turut berlaku ke atas individu lain yang semestinya aktif dalam landskap digital.

Jurang keyakinan yang terlalu tinggi ini berbahaya kerana ramai menyangka mereka sudah mencukupi dengan hanya mengambil langkah asas. Hakikatnya, kesedaran sahaja tidak memadai tanpa alat yang lebih berkesan.

Menurut Gogolook lagi, walaupun 94% responden Malaysia menyatakan mereka membuat semakan terhadap kesahihan sesuatu tawaran, sebahagian besar masih bergantung kepada kaedah asas seperti memeriksa kesalahan tatabahasa atau melihat aktiviti syarikat di media sosial, yang jelas tidak mencukupi dalam menangani penipuan moden.

Teknologi AI Sebagai Alat Pencegahan

Bagi merapatkan jurang tersebut, Whoscall tampil sebagai satu-satunya aplikasi anti-penipuan di Malaysia yang disahkan oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM). Menggunakan teknologi kecerdasan buatan (AI), aplikasi ini berupaya mengesan panggilan dan mesej mencurigakan, menganalisis pautan berbahaya serta mengenal pasti imej berkaitan penipuan termasuk yang dihantar melalui tangkapan skrin.

Untuk pengetahuan anda, jenis penipuan paling banyak dilaporkan di Malaysia ialah penipuan pelaburan, dengan panggilan telefon kekal sebagai saluran utama yang digunakan oleh penipu – iaitu sebanyak 73%.

Namun, terdapat peningkatan ketara dalam penipuan melalui aplikasi mesej segera, yang kini merangkumi 56% daripada keseluruhan cubaan penipuan yang mana platform yang paling banyak digunakan termasuklah WhatsApp, Telegram dan Facebook.

Beberapa penemuan lain yang turut dilaporkan adalah seperti:

  • Kanak-kanak turut menjadi mangsa – 21% ibu bapa mengakui anak mereka berusia antara 7 hingga 17 tahun pernah ditipu sekurang-kurangnya sekali.
  • Laporan penipuan – Hanya 44% sahaja kes penipuan yang dilaporkan kepada pihak berkuasa dan 44% kepada platform media sosial, dengan polis menerima 27% laporan dan platform sosial 25%.
  • Halangan membuat laporan – 23% mangsa tidak melaporkan kerana tidak mengetahui akan saluran yang betul (35%) atau percaya laporan tidak membawa perubahan (34%).
  • Harapan kepada institusi awam – Responden meletakkan tanggungjawab utama kepada kerajaan, namun organisasi perlindungan pengguna dinilai paling berkesan dari aspek pendidikan (65%), kemudahan melapor (64%) dan sokongan mangsa (58%).

Laporan ini jelas memperlihatkan wujudnya jurang besar antara keyakinan dan perlindungan sebenar dalam kalangan rakyat Malaysia. Walaupun ramai menganggap diri mereka mampu mengelak penipuan, realiti membuktikan bahawa penipuan semakin canggih dan mampu menjerat sesiapa sahaja, termasuk golongan yang berpendidikan serta celik teknologi.

Oleh yang demikian, orang ramai digalakkan untuk terus berwaspada, menggunakan aplikasi pencegahan yang disahkan, serta melaporkan sebarang kes penipuan bagi memastikan Malaysia lebih selamat daripada ancaman penipuan yang semakin berleluasa.

Komen