Flying Tiger Copenhagen Kini Buka Cawangan Kedua Di Malaysia – Menawarkan Barisan Produk Gaya Hidup Yang Unik Dan Comel
Lina Rosli
Jika anda peminat barangan unik, comel dan penuh warna, ada berita menarik untuk anda. Jenama gaya hidup terkenal dari Denmark, Flying Tiger Copenhagen kini rasmi menjejakkan kaki ke Malaysia melalui kerjasama eksklusif bersama Mitra Adiperkasa Group (MAP).
Selepas pembukaan pertama di AEON Mall Tebrau, Johor Bahru pada hujung Julai lalu, Flying Tiger Copenhagen kini membuka cawangan keduanya di The Gardens Mall, Kuala Lumpur. Kedai ini terletak di aras 2 dan pastinya menjadi tarikan baru buat mereka yang gemarkan barangan harian dengan sentuhan kreatif dan harga berpatutan.
Bagi yang tidak mengetahui, Flying Tiger Copenhagen menawarkan pelbagai produk yang merangkumi barangan alat tulis, aksesori rumah, permainan kreatif untuk kanak-kanak, peralatan dapur, aksesori parti, barangan hiasan serta hadiah unik.

Harga barangan juga sangat berpatutan, dengan pilihan bermula sekitar RM10 untuk barangan kecil seperti alat tulis, manakala aksesori rumah dan peralatan dapur ditawarkan pada harga bawah RM30. Untuk barangan dekorasi atau permainan kanak-kanak, harga purata berada dalam lingkungan RM10 hingga RM50, menjadikannya sesuai untuk pelbagai golongan pengguna.
Bukan itu sahaja, selain menawarkan variasi produk gaya hidup, kerjasama ini turut menekankan aspek kelestarian. Flying Tiger Copenhagen, sebagai ahli United Nations Global Compact, komited dalam memastikan operasi perniagaan dijalankan secara beretika dan bertanggungjawab, termasuk pemilihan bahan, proses logistik serta pengurusan operasi kedai.

Dengan konsep kedai yang menyeronokkan, Flying Tiger Copenhagen bukan sekadar menawarkan produk harian, tetapi turut membawa elemen gaya hidup Denmark yang terkenal dengan reka bentuk ringkas, praktikal, namun tetap menekankan kreativiti dan keceriaan.