Apa Yang Menarik Pada Samsung Galaxy S25 FE?
Lina Rosli
Samsung kini secara rasminya melancarkan Samsung Galaxy S25 FE sebagai pilihan mampu milik dalam siri Galaxy S25 – namun masih mengekalkan ciri mercu yang digemari ramai.
Apa yang menarik, Samsung Galaxy S25 FE ini turut dilengkapi dengan teknologi Galaxy AI terkini selain masih mengekalkan reka bentuk yang sama seperti Samsung Galaxy S25+ dan penawaran bateri yang tahan lama.
Dengan ini, siri baharu untuk FE ini dilihat direka untuk memenuhi gaya hidup pengguna masa kini yang mahukan telefon pintar serba lengkap.

#1 Dilengkapi Ciri AI Untuk Suntingan Gambar
Antara tarikan terbesar Samsung Galaxy S25 FE ialah pada bahagian kameranya. Dilengkapi kamera hadapan 12MP bersama ProVisual Engine berasaskan AI, rakaman swafoto kini kelihatan lebih jelas, terang dan semula jadi, walaupun dalam pencahayaan yang rendah.
Bukan itu sahaja, ia juga hadir dengan fungsi seperti Generative Edit membolehkan anda menyunting dan memadam objek yang mengganggu di latar belakang secara automatik, dan juga ciri Instant Slow-mo mengubah rakaman video biasa menjadi gerakan perlahan dramatik hanya dengan satu sentuhan.


Untuk mereka yang gemar merakam suasana malam, mod Low Noise membantu menghasilkan gambar yang lebih bersih dan jelas, serta mod Super HDR memastikan warna dan kontras video lebih menyerlah. Semua ini menjadikan pengalaman fotografi dan videografi lebih mudah serta kreatif, sesuai untuk pengguna yang aktif berkongsi momen di media sosial.
#2 Kapasiti Bateri Yang Besar
Dari segi prestasi, Samsung Galaxy S25 FE menggunakan bateri 4,900mAh dengan sokongan pengecasan pantas 45W, dilengkapi sistem penyejukan wap yang lebih besar untuk prestasi stabil walaupun digunakan sepanjang hari.
Berbanding dengan model sebelumnya, Samsung Galaxy S24 FE hanya hadir dengan 4,700mAh dengan pengecasan pantas 25W – menjadikan pengecasan untuk model kali ini lebih laju dan pantas.
Bukan itu sahaja, untuk Samsung Galaxy S25 FE ini juga, ia menawarkan pengalaman penggunaan yang lebih konvinien – membenarkan pengguna untuk menikmati pengalaman tontonan video tanpa henti sehingga 28 jam.

#3 Rekaan Lebih Nipis Dan Ringan
Bukan itu sahaja, Samsung Galaxy S25 FE turut tampil dengan rekaan yang hanya setebal 7.4mm dan seberat 190 gram – menjadikannya peranti FE paling nipis dan ringan setakat ini.
Bezelnya juga lebih nipis, dipadankan dengan rekaan kamera terapung yang memberi sentuhan moden serta kemasan yang lebih kemas. Dengan saiz yang ringan di tangan dan mudah dibawa ke mana-mana, telefon ini bukan sahaja memberi keselesaan, malah menawarkan pengalaman menonton yang lebih imersif, seolah-olah skrin benar-benar memenuhi pandangan anda.

#4 Gaya Hidup Lebih Mudah Dengan Galaxy AI
Selain menonjol melalui kamera dan prestasi, Samsung Galaxy S25 FE juga memperkasa gaya hidup harian dengan integrasi Galaxy AI. Antara ciri menarik termasuk Gemini Live, Now Bar, Now Brief dan Circle to Search yang menjadikan interaksi dengan telefon lebih pintar dan intuitif.
Selain itu, Samsung turut menawarkan fungsi Browsing Assist yang menjadikan pengalaman membaca di internet lebih praktikal. Artikel panjang boleh diringkaskan secara automatik, manakala maklumat penting dipaparkan dengan jelas supaya anda tidak perlu menatal tanpa henti.

Apa yang menarik juga, halaman di internet juga boleh diterjemah terus dalam Samsung Internet, membolehkan anda memahami kandungan dari pelbagai bahasa dengan lebih mudah. Semuanya berlaku dengan pantas dan lancar – sesuai untuk anda yang ingin akses cepat kepada informasi tanpa kompromi.
#5 Sistem Operasi Baharu One UI 8
Akhir sekali, Samsung Galaxy S25 FE hadir dengan One UI 8 berasaskan Android 16, menjadikannya antara peranti terawal Samsung yang menyokong sistem operasi terbaru ini selepas siri Z Fold7 dan Z Flip7. Dengan antaramuka yang lebih mesra pengguna serta integrasi Galaxy AI yang lebih menyeluruh, One UI 8 bukan sahaja meningkatkan kelancaran penggunaan, malah memperkenalkan cara baharu untuk berinteraksi dengan telefon pintar dalam kehidupan seharian.
Bagi yang berminat, Samsung Galaxy S25 FE ini hadir dalam empat pilihan warna – Navy, Jetblack, Icyblue dan White. Di Malaysia, Galaxy S25 FE dijual pada harga RM3,099 (256GB) dan RM3,699 (512GB) bermula 19 September 2025.