Sepsis Dalam Kalangan Kanak-Kanak – Apa Itu Sepsis?

December 23, 2025
Kesihatan

Lina Rosli

Pernahkah anda terfikir bahawa anak kecil juga boleh mengalami keadaan kesihatan yang boleh memberi kesan kepada rutin harian mereka?

Pada awalnya mungkin ibu bapa ramai menganggapnya sebagai selesema biasa. Namun, apabila keadaan berlarutan sehingga malam, ia pastinya mendatangkan kebimbangan dalam kalangan ibu bapa. Dan inilah keadaan yang dikenali sebagai sepsis.

Apa Itu Sepsis?

Secara umumnya, sepsis ialah satu keadaan perubatan yang kerap dipandang remeh walaupun berisiko tinggi. Ia lazimnya bermula dengan gejala ringan seperti demam, batuk atau sakit perut, tetapi boleh merebak dengan pantas sehingga menyebabkan keradangan menyeluruh pada tubuh serta kegagalan organ dalam tempoh yang singkat.

Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) melaporkan sebanyak 49 juta kes sepsis direkodkan setiap tahun di seluruh dunia, dengan 11 juta kematian – hampir separuh daripadanya melibatkan kanak-kanak iaitu kira-kira sekitar 2.9 juta individu.

Namun hakikatnya, sebahagian besar kes ini boleh dicegah dengan pengesanan awal serta rawatan segera.

Menurut Dr Olive Lee Pei Ee, Pakar Perubatan Kanak-Kanak dan Rawatan Rapi Kanak-Kanak di Pusat Perubatan Sunway (SMC), kajian yang dijalankan bersama rakan penyelidik dari Thailand dan Singapura pada tahun 2021 mendapati kadar sepsis dalam kalangan kanak-kanak di rantau ini dianggarkan sekitar 20%, dan berkemungkinan mencecah sehingga 50%.

Kajian sama turut merekodkan kadar kematian 19.2% bagi pesakit kanak-kanak dengan sepsis kritikal atau kejutan septik. Di Malaysia, Pendaftaran Neonatal Kebangsaan Malaysia (MNNR) merekodkan hampir 1,000 kes sepsis awal bayi baharu lahir antara 2015 hingga 2020, kebanyakannya berpunca daripada jangkitan bakteria Kumpulan B Streptococcus.

Sepsis Bermula Dengan Gejala Ringan

Cabaran terbesar dalam menangani sepsis adalah kerana ia sering bermula dengan gejala yang sukar dikenalpasti. Menurut pakar, sepsis boleh mencetuskan tindak balas imun yang tidak normal yang boleh merebak seperti api marak dalam tubuh.

Di Malaysia, jangkitan paru-paru kekal antara yang paling kerap berlaku, terutamanya ketika musim selesema. Apa yang bermula dengan batuk ringan boleh bertukar menjadi keadaan yang mengancam nyawa.

Kanak-kanak tidak berupaya menyatakan rasa sakit mereka. Justeru, tanda-tanda awal sering hanya dapat dikesan melalui perubahan tingkah laku – mereka kelihatan lebih letih daripada biasa, tidak bermaya atau tidak seperti kebiasaan.

Gejala Yang Perlu Diberi Perhatian

Antara gejala sepsis yang wajar diberi perhatian termasuk:

  • Anak terlalu mengantuk atau sukar dikejutkan
  • Muntah berulang kali setiap kali makan
  • Kurang responsif dan kelihatan lemah
  • Perubahan suhu badan yang mendadak – terlalu panas atau terlalu sejuk
  • Sesak nafas atau pernafasan laju

Sekiranya keadaan anak tidak pulih selepas tiga hari mengambil ubat atau gejala masih berlarutan, Dr Lee menasihatkan agar segera mendapatkan rawatan lanjut. Ini kerana, apabila ia mula merebak, gejalanya boleh menjadi serius dengan pantas.

Pencegahan Adalah Langkah Terbaik

Langkah pencegahan bermula di rumah melalui amalan kebersihan harian, pengendalian makanan yang selamat, serta persekitaran yang bersih. Vaksinasi turut memainkan peranan penting dalam mengurangkan risiko jangkitan.

Dr Lee turut mengingatkan mengenai penggunaan antibiotik yang berhemah. Penggunaan berlebihan boleh menyebabkan rintangan antibiotik, sekaligus menjadikan sepsis sukar dirawat, khususnya yang berpunca daripada jangkitan di hospital.

Meskipun kanak-kanak berjaya melepasi fasa kritikal sepsis, proses pemulihan boleh mengambil masa berminggu-minggu hingga berbulan-bulan. Mereka berisiko mengalami sindrom pasca-sepsis yang menjejaskan fungsi fizikal, kognitif dan psikososial.

Pemantauan kesihatan jangka panjang, termasuk pemeriksaan fungsi organ, lazimnya diperlukan.

© 2025 Amanz Media Sdn Bhd