CHAGEE Kini Mempunyai Sekitar 200 Cawangan Di Sekitar Malaysia

September 9, 2025
syarikat

Lina Rosli

CHAGEE, jenama teh premium kegemaran ramai, baru-baru ini telah mengumumkan pencapaian terbaharu mereka dengan kejayaan membuka 200 cawangan di seluruh Malaysia. Jumlah ini merangkumi pelbagai format perniagaan CHAGEE, termasuk CHAGEE Express, CHAGEE Modern Tea House, CHAGEE panda-lalu dan lot kedai CHAGEE.

Untuk pengetahuan anda, perluasan akses jenama ini dilihat berkembang dengan pesat. Pada Mei 2024 yang lepas, CHAGEE meraikan pembukaan cawangan ke-100, dan hanya dalam tempoh lebih setahun, jumlah itu meningkat dua kali ganda dengan penambahan 100 lagi cawangan menjelang September 2025.

Dan kini, CHAGEE sudah boleh didapati di kebanyakan lokasi utama seperti Kuala Lumpur, Selangor, Johor Bahru, Penang, Melaka, Ipoh, Kota Kinabalu, dan Kuching.

Sejak penubuhannya, CHAGEE terus komited memperkenalkan pengalaman minum teh yang menggabungkan tradisi Timur dengan sentuhan moden, sekaligus menjadikannya antara jenama minuman gaya hidup paling pesat berkembang di Malaysia.

Antara kejayaan lain yang turut memperkukuh kedudukan CHAGEE di pasaran tempatan termasuklah pelancaran aplikasi pesanan rasmi CHAGEE pada awal tahun 2025. Melalui aplikasi ini, pengguna bukan sahaja dapat menikmati akses lebih mudah kepada minuman kegemaran mereka, tetapi juga memperoleh pengalaman pembelian yang lebih lancar, pantas dan diperibadikan.

Selari dengan pengukuhan di pasaran domestik, CHAGEE turut mengumumkan persediaan untuk melebarkan sayap ke pasaran antarabangsa, khususnya Vietnam dan Filipina. Persiapan ini melibatkan pelaksanaan piawaian keselamatan makanan dan kawalan kualiti yang ketat, bagi memastikan pengalaman teh premium CHAGEE dapat dikekalkan dengan konsisten di setiap pasaran baharu.

Dengan langkah ini, CHAGEE terus mengukuhkan kedudukannya sebagai peneraju jenama teh premium di rantau Asia Tenggara, sambil membawa budaya teh tradisional lebih dekat kepada generasi moden.

© 2025 Amanz Media Sdn Bhd