Volvo XC60 Baharu Kini Tiba Di Malaysia – Rekaan Lebih Segar, Teknologi Lebih Intuitif

September 10, 2025
Automotif

Lina Rosli

Volvo Car Malaysia kini rasmi memperkenalkan versi terbaharu bagi model paling popularnya, Volvo XC60. Model dengan kemaskini baharu ini dilihat hadir dengan rekaan luaran yang lebih atletik, sistem suspensi udara terbaharu, serta teknologi pintar yang lebih intuitif.

Sejak dilancarkan di peringkat global, XC60 telah mencatatkan jualan hampir 2.7 juta unit. Dan di Malaysia sahaja, model ini telah terjual lebih daripada 6,200 unit – ini sekaligus menjadikan model ini antara pilihan utama bagi kebanyakan individu di negara ini terutamanya keluarga yang mengutamakan keselesaan, kualiti dan keselamatan.

Untuk model Volcvo XC60 ini, ia hadir dengan dua pilihan varian iaitu

  • XC60 T8 AWD Plug-in Hybrid – harga anggaran bermula dari RM367,888
  • XC60 B5 AWD Mild Hybrid – harga anggaran bermula dari RM333,888

Bagi varian T8 Plug-in Hybrid, pemanduan elektrik sepenuhnya boleh mencecah sehingga 89km (WLTP), sesuai untuk kegunaan harian seperti perjalanan ke tempat kerja atau penghantaran anak ke sekolah.

Sementara untuk varian B5 Mild Hybrid pula, ia menawarkan sistem hibrid ringan yang mampu meningkatkan kecekapan bahan api serta mengurangkan pelepasan karbon tanpa memerlukan sambungan pengecasan.

Dari segi keselamatan, XC60 dilengkapi teknologi pintar seperti adaptive cruise control (ACC), lane keeping assist (LKAS), collision avoidance serta struktur keselamatan kerangka yang menjadi tanda aras Volvo dalam perlindungan penumpang.

New Volvo XC60

Bahagian luaran kini menampilkan gril baharu berona atletik, lampu LED ‘Thor Hammer’ yang menjadi identiti Volvo, serta pilihan warna baharu termasuk Forest Lake dan Bright Dusk. Reka bentuk ini bukan sahaja mengekalkan estetika Scandinavian yang bersih, tetapi juga menyerlahkan imej moden sejajar dengan barisan kenderaan elektrik Volvo.

Bahagian dalaman pula direka bagi memberikan keselesaan optimum. Tempat duduk yang diiktiraf antara paling selesa dalam segmen, digabungkan dengan rekaan ruang kabin yang praktikal dan ergonomik.

Tambahan sistem suspensi udara untuk varian plug-in hybrid secara percuma bagi tempoh terhad memberikan pemanduan lebih stabil dan selesa. Teknologi penulenan udara turut diperkenalkan bagi menapis sehingga 95% partikel berbahaya di dalam kabin.

New Volvo XC60

Sistem inforia terbaharu menampilkan paparan 11.2 inci dengan Google built-in, membolehkan akses terus kepada Google Maps, Spotify, Waze dan Google Assistant. Bagi peminat muzik, Volvo XC60 ini hadir dengan sistem audio Bowers & Wilkins ditawarkan untuk pengalaman bunyi premium.

Dengan penyegaran terbaharu ini, Volvo XC60 kekal sebagai model serba lengkap – menggabungkan elektrifikasi, keselamatan, teknologi dan keselesaan dalam satu SUV premium yang memenuhi keperluan pemandu moden di Malaysia.

© 2025 Amanz Media Sdn Bhd