iCAUR 03 – SUV Elektrik Lasak Pertama Di Malaysia Kini Dilancarkan Pada Harga Bermula RM119,800
Lina Rosli
iCAUR Malaysia secara rasminya telah melancarkan iCAUR 03 – merupakan model pertama mereka untuk pasaran tempatan. Menariknya, ia juga diiktiraf sebagai SUV elektrik sepenuhnya pertama di Malaysia dengan kemampuan off-road, sekaligus membuka jalan baharu dalam segmen kenderaan elektrik berorientasikan gaya hidup lasak.
Menurut iCAUR Malaysia, setiap model iCAUR dibangunkan dengan inspirasi “Born to Play”, yang menekankan kecerdasan, inovasi dan interaksi. Malaysia juga menjadi pasaran global pertama yang memperkenalkan jenama ini, membuktikan persiapan mereka cukup fokus dan pantas.


Apa Yang Menarik Pada iCAUR 03?
Dari segi reka bentuk, iCAUR 03 tampil berani dengan bahasa rekaan i-BOX – menampilkan garis sudut tajam, lampu LED dinamik dan profil SUV yang tampak versatil. Ia hadir dengan dimensi berukuran 4,406 mm panjang, 1,910 mm lebar dan 1,715 mm tinggi, dengan jarak roda 2,715 mm. Dengan pendekatan reka bentuk yang tahan lasak, ia hadir dengan keupayaan mendaki sehingga 55%.
Untuk model ini, iCAUR turut memfokuskan kepada keselamatan sewaktu pemanduan – menerusi sistem iCARE yang mana ia hadir dengan struktur badan aluminium dengan perlindungan anti-karat sehingga 30 tahun. Bukan itu sahaja, ia pula hadir dengan bateri yang dilindungi dengan sistem 4 lapisan IPX8, memastikan ia tahan lasak di pelbagai keadaan.

Dari segi prestasi, pelanggan boleh memilih antara dua konfigurasi:
- 2WD dengan motor tunggal berkuasa 184 PS dan jarak pemanduan sehingga 426 km.
- iWD (Intelligent Wheel Drive) dengan dwi-motor berkuasa 279 PS dan jarak pemanduan sehingga 418 km.
Kedua-dua varian menyokong pengecasan pantas DC 80 kW dan AC 6.6 kW, selain fungsi Vehicle-to-Load (V2L) 3.2 kW untuk membekalkan kuasa kepada peranti dan perkakas elektrik.

Di bahagian kabin, iCAUR 03 dilengkapi skrin sentuh 15.6 inci Full HD, kluster digital 9.2 inci dan sistem audio 12-speaker INFINITY (untuk varian iWD). Ia turut menawarkan kerusi dengan fungsi urutan dan ventilasi, serta ruang simpanan fleksibel hingga 1,238L.
Aspek keselamatan pemanduan dibantu sistem ADAS Tahap 2, yang meliputi ciri seperti Autonomous Emergency Braking, Adaptive Cruise Control, Traffic Jam Assist dan Blindspot Detection.

Bagi mereka yang menempah awal sebelum 17 September 2025, pelanggan bakal menikmati pakej eksklusif termasuk:
- Pengecasan tanpa had selama setahun di rangkaian JomCharge.
- Sebuah Wallbox charger percuma bernilai RM3,400.
- Pakej gaya hidup bernilai RM3,000 yang merangkumi baucar Starbucks, JD Sports, Sunway Lagoon dan Touch ‘n Go.

Bagi yang berminat, iCAUR Malaysia menawarkan model 03 ini pada harga RM119,800 untuk varian 2WD dan RM129,800 untuk varian iWD. Untuk penampilan lebih berani, iCAUR turut menawarkan aksesori edisi terhad sebanyak 1000 unit – iaitu Black Phantom Edition yang ditawarkan dengan harga tambahan RM20,000.
Buat permulaan, iCAUR 03 hadir sebagai model CBU import, namun pemasangan tempatan akan bermula Januari 2026 di kilang Chery Corporate Malaysia, Shah Alam. iCAUR Malaysia turut merancang membuka sehingga 18 pusat jualan dan 9 pusat servis menjelang September 2025, termasuk di Sabah dan Sarawak.