Ricoh GR IV Kini Dilancarkan Di Malaysia — Kamera Kompak Premium Untuk Peminat Fotografi Jalanan
Bat
Setelah melalui tempoh pratempahan awal bulan ini, kini Ricoh secara rasminya melancarkan Ricoh GR IV untuk pasaran Malaysia. Kamera kompak ikonik ini hadir dengan peningkatan besar dari generasi sebelumnya, menjadikannya pilihan menarik untuk peminat fotografi jalanan, pengembara, serta pencipta kandungan yang mahukan kualiti tanpa beban kamera bersaiz besar.
Model terbaharu ini membawakan sensor APS-C 25.7 megapiksel yang dibangunkan khas, bersama lensa GR 28mm f/2.8 yang direka bentuk semula. Gabungan kedua-duanya menjadikan GR IV lebih berkuasa dalam merakam butiran halus, warna lebih kaya, serta prestasi lebih baik dalam keadaan cahaya malap.


Ricoh turut memperkenalkan enjin GR 7 untuk pemprosesan imej. Ia menawarkan kawalan hingar lebih baik dan tangkapan sensitiviti tinggi sehingga ISO 204800. Bagi mereka yang gemar bergerak, kamera ini juga dilengkapi penstabilan lima paksi yang membantu menghasilkan imej lebih tajam tanpa tripod. Sistem autofokusnya pula jauh lebih pantas, dengan kelajuan permulaan hanya 0.6 saat.
Selain spesifikasi teknikal, GR IV juga menitikberatkan pengalaman pengguna. Badannya dibina dengan aloi magnesium yang kukuh, genggaman lebih selesa, serta paparan LCD 3.0 inci definisi tinggi yang mudah dilihat walaupun di bawah cahaya matahari. Dari segi sambungan, kamera ini menyokong Bluetooth dan Wi-Fi untuk perkongsian pantas melalui aplikasi GR WORLD.


Ciri kreatif turut ditambah, antaranya mod Cinema Image untuk hasil gaya sinematik, dan Snap Distance-Priority AE yang memudahkan kawalan jarak fokus bagi mereka yang gemar merakam dengan lebih spontan.
Dengan berat sekitar 228 gram, GR IV mudah dimasukkan ke dalam poket atau beg kecil. Ia menjadikan kamera ini pilihan sesuai untuk pengembara, pencipta kandungan dan mereka yang mahu kamera ringkas tetapi tidak mahu berkompromi kualiti.
Ricoh GR IV kini boleh didapati di pengedar rasmi Malaysia dengan berharga RM5,999. Pembeli awal turut menerima aksesori eksklusif sebagai sebahagia daripada pelancaran.
Bagi anda yang meminati kamera minimal dan kecil, Ricoh GR IV adalah pilhan tepat untuk menemani gaya hidup anda.