Transformasi PPR – Dari Rumah Yang Suram Menjadi Dapur Digital
Lina Rosli
Dahulu, ruang yang terbiar di kawasan PPR sering digelar “rumah hantu” kerana keadaannya yang gelap, kusam dan menakutkan. Hari ini, wajahnya berubah sepenuhnya menjadi Dapur Digital moden ala kafe hipster – satu transformasi yang bukan sahaja mengubah rupa fizikal, malah membuka peluang baharu untuk komuniti setempat.
Projek ini hadir hasil kerjasama Kementerian Kewangan (MOF), Yayasan Hasanah, Jabatan Wilayah Persekutuan (JWP) dan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), dengan pelaksanaan disokong oleh Pepper Labs sebagai penggerak sosial.

Dengan kerjasama pelbagai pihak, ruang yang sebelum ini terbiar akhirnya dikemaskini menjadi cloud kitchen serba lengkap, dilengkapi fasiliti moden untuk para usahawan kecil, ibu-ibu serta belia di kawasan perumahan awam (PPR) – untuk menjalankan perniagaan makanan dengan lebih sistematik dan bersih.
Setakat ini, terdapat 15 lokasi Dapur Digital yang telah beroperasi di sekitar ibu negara termasuk Wangsa Sari, Kerinchi, Kampung Limau, Intan Baiduri dan Setapak Raya.


Selain fasiliti dapur yang moden, para peserta turut dibekalkan dengan latihan digital dan pemasaran, sekaligus membuka jalan untuk mereka memasarkan produk di platform penghantaran makanan utama seperti GrabFood, Foodpanda dan ShopeeFood.
Ada antara mereka yang berjaya menjana pendapatan sehingga RM10,000 sebulan hanya melalui dapur komuniti ini – angka yang membuktikan potensinya sebagai pemangkin ekonomi rakyat.
Walau apa pun persepsi, realitinya Dapur Digital telah mengubah wajah PPR daripada imej lama yang gelap dan kotor kepada pusat ekonomi komuniti yang lebih bersih, teratur dan berdaya saing. Ia sekali gus membuktikan bahawa dengan fasiliti yang betul, sokongan sistematik dan peluang saksama, ruang yang dahulu dianggap beban boleh menjadi sumber rezeki dan kebanggaan penduduk setempat.