D.E.A.R. Malaysia: Menghidupkan Semula Budaya Membaca
ArifAzhar
Oleh Neeraj Jain, Presiden Scholastic Asia

Malaysia sering dibanggakan sebagai sebuah negara celik huruf — kadar literasi kita kini mencecah 96%. Namun, celik huruf tidak semestinya bermakna celik minda. Membaca perkataan di atas kertas tidak sama dengan memahami maksudnya.
Keputusan terkini Penilaian Pelajar Antarabangsa (PISA) memberi gambaran yang lebih jelas: pelajar Malaysia menunjukkan penurunan ketara dalam kemahiran membaca, matematik, dan sains. Dalam bacaan sahaja, kita telah kehilangan bersamaan 1.4 tahun pembelajaran sejak 2018 dan Malaysia tersenarai antara lima negara teratas dengan penurunan paling besar di dunia.
Bayangkan seorang anak membaca lancar sebaris ayat, tetapi apabila ditanya maksudnya, mereka terdiam. Mereka tidak pasti, tidak yakin, dan tidak dapat meneka daripada konteks. Situasi ini kini semakin biasa — kemahiran mentafsir, berfikir kritis, dan mengaplikasi ilmu semakin terhakis.
Lebih daripada sekadar markah peperiksaan, isu sebenar ialah kemahiran hidup. Tanpa kefahaman dan pemikiran mendalam, generasi muda kita mungkin celik huruf… tetapi tidak mampu berfungsi dengan berkesan dalam dunia yang kian dipacu teknologi dan AI.
Dari Budaya Membaca ke Budaya Skrol
Dulu, Malaysia dikenali dengan semangat membaca yang tinggi. Hari ini, purata rakyat hanya membaca lima buku setahun. Sebaliknya, berjam-jam dihabiskan dengan TikTok, Instagram, dan skrol tanpa henti.
Kanak-kanak pula lebih banyak terdedah kepada skrin. Namun sebelum kita menuding jari, kita harus cermin diri: orang dewasa Malaysia kini berada di tempat kedua di Asia untuk penggunaan skrin paling tinggi. Kanak-kanak meniru apa yang mereka lihat, bukan apa yang kita pesan. Jika kita melekat pada skrin, mereka juga akan menganggap itu normal.
Dan di sinilah cabarannya. Jika hiburan hanya datang dalam bentuk video 10 saat, bagaimana mereka mahu membina kesabaran untuk membaca, berfikir panjang, atau meneliti sesuatu dengan mendalam? Pada tahun 2024, lebih 62,000 murid Tahun Satu dikategorikan sebagai buta huruf, iaitu 27.2% daripada keseluruhan kumpulan. Secara global, lebih 8 juta pelajar di negara maju kini dianggap buta huruf secara fungsian.
Mengapa Membaca Penting?
Membaca bukan sekadar hobi — ia asas kreativiti, empati, dan pemikiran kritis. Ia melatih fokus, memperkukuh kefahaman, dan membina pertimbangan logik. Tanpa tabiat membaca, kita berisiko membesarkan generasi yang tahu membaca perkataan, tetapi tidak memahami dunia.
Laporan PISA juga menegaskan Malaysia kini berada di bawah purata ASEAN-6 (Singapura, Vietnam, Thailand, Filipina, Indonesia, dan Malaysia), memberi amaran tentang masa depan modal insan kita. Pandemik, jurang digital, dan kualiti pendidikan yang tidak seimbang hanya memburukkan keadaan.
Menghidupkan Semula Budaya Membaca dengan D.E.A.R.
Salah satu cara mudah ialah melalui Drop Everything And Read (D.E.A.R.), inisiatif Scholastic. Konsepnya ringkas: ketepikan 20 minit sehari untuk membaca. Tiada ujian, tiada tekanan. Hanya membaca untuk keseronokan.
Untuk membantu keluarga bermula, Scholastic menyediakan Peta Membaca D.E.A.R. yang menawarkan:
- Cadangan buku mengikut umur (0–3, 4–8, 7+) berdasarkan panduan pakar perkembangan kanak-kanak.
- Aktiviti menyeronokkan seperti Bingo Buku untuk menjadikan membaca lebih interaktif.
- Lembaran jurnal bagi menjejaki perjalanan membaca anak.
- D.E.A.R. Reading Challenge, di mana keluarga boleh mencatat bacaan dan berpeluang menjadi salah satu daripada 3 Duta D.E.A.R. Malaysia serta memenangi bekalan buku selama setahun.
Pendekatan ini berkesan kerana ia membina tabiat secara semula jadi — dan tabiat itu menular. Jika ibu bapa membaca, anak juga akan membaca. Membaca menjadi satu perjalanan bersama: setiap buku membuka pintu imaginasi, idea baru, dan peluang untuk mengenal diri.

Neeraj Jain, Presiden Asia bagi Penerbitan dan Pengedaran Buku Kanak-kanak
20 Minit Sehari, Generasi Masa Depan
Bayangkan jika setiap rumah dan sekolah di Malaysia berhenti seketika selama 20 minit sehari untuk membaca. Dalam setahun, itu bersamaan 20 buku. Dalam lima tahun, kesannya akan jelas: minda lebih tajam, pemikir lebih kritis, dan generasi yang bersedia menghadapi dunia yang kompleks.
Soalan sebenarnya bukanlah boleh atau tidak kita luangkan masa untuk membaca. Soalan utamanya: mampukah kita menanggung akibat jika tidak melakukannya?
Hari ini, mari kita mulakan perubahan. Ketepikan segalanya dan MEMBACA.