PRISM+ Memperkenalkan TV 4K QD Mini-LED Baharu Dan Peti Sejuk Boleh Disesuaikan Pertama Di Malaysia

September 30, 2025
Gaya Hidup

Lina Rosli

Selepas hampir 5 tahun di Malaysia, nampaknya PRISM+ dilihat semakin aktif dalam menawarkan produk dan solusi gaya hidup yang mampu milik kepada rakyat Malaysia.

Dan hari ini, PRISM+ hadir dengan dua lagi barisan produk terbaharu iaitu TV QD Mini-LED dan juga peti sejuk siri Inspire. Pelancaran ini menandakan usaha jenama tersebut untuk mengukuhkan lagi kedudukannya dalam segmen televisyen premium, selain terus melebarkan sayap ke pasaran peralatan rumah.

PRISM+ U-Series QD Mini-LED Google TV

Produk utama yang diperkenalkan ialah PRISM+ U-Series 4K QD Mini-LED Google TV, iaitu rangkaian televisyen yang menggunakan teknologi QD Mini-LED.

Bagi yang tidak mengetahui, teknologi QD Mini-LED ini menggabungkan lapisan Quantum Dot bersama sistem pencahayaan ultra-halus bagi menghasilkan visual lebih terang, warna yang tepat serta kontras mendalam.

Oleh yang demikian, siri U-Series direka untuk memberikan kualiti visual hampir setanding OLED pada harga lebih berpatutan. Teknologi ini memanfaatkan cip LED lebih kecil untuk menghasilkan lebih banyak titik cahaya, menjadikan paparan lebih terang berbanding skrin IPS tradisional serta lebih jimat berbanding OLED.

Antara kelebihan QD Mini-LED termasuk:

  • Kecerahan yang tinggi dan kontras lebih tajam
  • Warna lebih kaya dengan lebih satu bilion tona warna
  • Liputan sehingga 93% DCI-P3 Colour Gamut

Selain itu, televisyen ini turut menyokong ciri-ciri hiburan dan permainan moden seperti Dolby Vision, HDR10+, Filmmaker Mode, Dolby Atmos, serta 144Hz Variable Refresh Rate (VRR) melalui dua port HDMI 2.1. Ia juga hadir dengan sistem bunyi 2.1 saluran bersama subwoofer terbina dalam.

Dikuasakan oleh Google TV, pengguna boleh mengakses lebih 5,000 aplikasi popular termasuk Netflix, Disney+, YouTube dan Viu. Ia turut menyokong Google Assistant dan Chromecast Built-In untuk kawalan pintar serta perkongsian skrin lebih mudah.

Harga bagi siri ini bermula daripada RM2,599 untuk model 55 inci, manakala model terbesar 86 inci ditawarkan pada harga RM7,999. Bagi yang berminat, pra-tempahan akan dibuka bermula 3 Oktober 2025 di laman web PRISM+ dan Shopee.

Apa yang menarik juga, untuk setiap pembelian PRISM+ U-Series QD Mini-LED Google TV, pelanggan akan menerima hadiah percuma yang bernilai mencecah RM1,326.

PRISM+ Inspire Series – Peti Sejuk Dengan Kelebihan Personalisasi

Seiring dengan pengembangan ke pasaran peralatan rumah, PRISM+ turut memperkenalkan Inspire Series Refrigerators, yang dikatakan sebagai peti sejuk boleh disesuaikan sepenuhnya pertama di Malaysia.

Barisan ini hadir dengan dua model – Inspire SBS 750 Side-by-Side (750L) dan Inspire FDR 720 Four-Door (720L) – yang menampilkan panel kaca matte tahan calar dengan pilihan lima warna bergaya iaitu Sky Blue, Pastel Pink, Pastel Beige, Matte White dan Matte Black.

Selain rekaan estetik, siri ini turut dilengkapi teknologi penyejukan pintar seperti Multi-Zone Cooling untuk kawalan suhu lebih optimum, Metal Cooling panels bagi mengekalkan kesejukan berpanjangan, serta penapis karbon anti-bau yang mampu menyingkirkan sehingga 99.9% bakteria dan bau tidak menyenangkan.

Antara ciri lain termasuk:

  • Inverter compressor untuk operasi lebih senyap dan jimat tenaga
  • True Total No-Frost yang mengelak pembentukan ais
  • Panel sentuh berwarna untuk kawalan mudah
  • Jaminan 12 tahun untuk kompresor

Dari segi harga, siri peti sejuk ini boleh didapati pada harga bermula daripada RM2,999, dengan pra-tempahan dibuka pada 3 Oktober 2025 di laman web PRISM+.

Perkongsian Strategik Baharu

Dalam usaha menambah nilai untuk pengguna, PRISM+ turut mengumumkan kerjasama dengan beberapa platform penstriman dan pembayaran utama. Antara yang disertakan ialah:

  • Viu, mewatch, Durioo+ dan MYTV Mana-Mana – langganan penstriman eksklusif bersama pembelian TV U-Series
  • Atome – platform pembayaran yang menawarkan diskaun tambahan untuk pembelian atas talian

Menurut Eric Kam, Pengarah Negara PRISM+ Malaysia, pelancaran ini mencerminkan komitmen jenama untuk menawarkan inovasi yang mudah diakses oleh pengguna tempatan. U-Series hadir dengan teknologi premium pada harga kompetitif, manakala Inspire Series membuktikan fokus PRISM+ terhadap rekaan mesra pengguna yang menggabungkan fungsi moden dengan gaya peribadi.

© 2025 Amanz Media Sdn Bhd