Varian Volvo EC40 Single Motor Kini Ditawarkan Di Malaysia Pada Harga RM248,888
Lina Rosli
Volvo Car Malaysia mengumumkan bahawa Volvo EC40 kini hadir dengan pilihan varian single motor untuk tahun model 2026.
Sebagai SUV crossover elektrik sepenuhnya pertama daripada Volvo, EC40 dalam versi single motor menggunakan motor elektrik magnet kekal generasi kedua yang dipasang pada gandar belakang. Ia mampu menghasilkan 175 kW (238 hp) dengan pecutan 0-100 km/j dalam 7.3 saat.

Ia juga dipadankan dengan bateri 70 kWh, EC40 menawarkan jarak pemanduan sehingga 488 km (WLTP). Melalui pengecasan pantas DC, kapasiti bateri boleh diisi semula dari 10% ke 80% dalam masa hanya 26 minit.
Apa yang menarik juga, varian ini turut menampilkan warna baharu Sand Dune, iaitu tona metalik hangat yang diinspirasikan daripada landskap bukit pasir Sweden. Pilihan warna ini melengkapkan barisan sedia ada yang merangkumi Aurora Silver, Onyx Black dan Crystal White.

Bahagian kabin pula mengekalkan pendekatan mesra alam dengan penggunaan material bebas kulit yang mana ia hadir dengan bahan fabrik Charcoal Connect suede textile serta Charcoal Microtech bagi memberikan sentuhan premium. Sementara kemasan pada papan pemuka dan pintu pula, ia hadir dengan gaya Cutting Edge memperlihatkan imej lebih moden.
Seiring dengan perkembangan teknologi, EC40 single motor dilengkapi sistem antaramuka generasi baharu yang pertama kali diperkenalkan pada Volvo EX30. Ia menawarkan rekaan lebih ringkas dengan akses intuitif, melalui paparan skrin tengah 9 inci (Google built-in) dan paparan pemandu 12.3 inci.

Dari aspek keselamatan, EC40 hadir dengan pakej penuh Safe Space Technology, termasuk sistem bantuan pemandu terkini, teknologi pencegah pelanggaran, serta struktur badan yang diperkukuh.
Sebagai perbandingan, varian Volvo EC40 baharu ini ditawarkan pada harga jualan RM248,888, manakala model varian twin motor yang sedia ada pula dijual pada harga RM288,888 iaitu perbezaan sebanyak RM40,000.
Bagi pelanggan yang membuat tempahan EC40 single motor, Volvo Car Malaysia menawarkan insurans percuma tahun pertama bernilai RM5,600 serta baucar pengecas wallbox bernilai RM5,000 dalam tempoh promosi terhad.
Maklumat lanjut mengenai Volvo EC40 boleh diperoleh melalui laman rasmi Volvo Cars Malaysia serta saluran media sosial Facebook dan Instagram jenama tersebut.