OREO x BABYMONSTER Hadir Dengan Perisa Marshmallow Crème

October 2, 2025
Makanan & Minuman

Lina Rosli

OREO kembali mencuri perhatian dengan memperkenalkan inovasi rasa yang segar melalui kolaborasi terbaharunya bersama kumpulan K-pop popular, BABYMONSTER. Buat pertama kalinya di Asia Tenggara, OREO mempersembahkan biskut merah edisi khas dengan inti Marshmallow Crème – satu gabungan yang diinspirasikan daripada trend pencuci mulut semasa dan identiti ceria kumpulan tersebut.

Selain variasi baharu ini, anggota BABYMONSTER turut mereka-bentuk koleksi eksklusif biskut OREO yang hadir dalam pilihan perisa klasik seperti Vanila, Coklat dan Strawberi. Keunikan kolaborasi ini bukan sahaja terletak pada kelazatan rasa, tetapi juga pada elemen visual yang berwarna-warni serta pembungkusan yang direka khas, menjadikannya pilihan menarik untuk peminat OREO dan MONSTIEZ.

Perisa Marshmallow Crème memberi pengalaman berbeza berbanding varian OREO tradisional. Dengan lapisan krim lembut dan manis yang dipadankan dengan biskut merah, ia mencetuskan kombinasi rasa yang lebih moden dan ceria – sesuai dengan gaya hidup generasi muda yang gemarkan kelainan.

Lebih istimewa, setiap pek edisi khas ini turut disertakan kad foto eksklusif BABYMONSTER. Koleksi ini boleh dikumpul sehingga tujuh rekaan berbeza, menjadikannya satu edisi terhad yang bukan sahaja menggembirakan deria rasa, tetapi juga bernilai sentimental buat penggemar kumpulan tersebut.

Bagi yang berminat, biskut edisi terhad OREO x BABYMONSTER ini boleh mula didapati di rangkaian pasaraya besar berdekatan anda.

© 2025 Amanz Media Sdn Bhd