Selepas Lebih 50 Tahun, FamilyMart Buka Butik Fesyen Satelit Pertama Di Tokyo
Lina Rosli
Rangkaian kedai serbaneka Jepun, FamilyMart kini melangkah ke dimensi baharu dengan pembukaan butik fesyen satelit pertama milik syarikat yang memfokuskan sepenuhnya kepada barisan pakaian Convenience Wear.
Butik ini dibuka di kompleks Blue Front Shibaura, Minato Ward, Tokyo, menandakan satu inisiatif penting selepas lebih lima dekad sejak FamilyMart membuka kedai pertamanya di Sayama, Saitama pada tahun 1973.

Untuk pengetahuan anda, jenama Convenience Wear mula diperkenalkan pada 2016 sebagai rangkaian pakaian yang pada mulanya dianggap sebagai pilihan kecemasan di kedai serbaneka FamilyMart. Sejak itu ia berkembang menjadi barisan yang lengkap merangkumi kemeja-T, sweatshirt, seluar, pakaian dalam dan aksesori.
Berdasarkan perkongsian, butik satelit baharu ini mempamerkan hampir 150 rekaan daripada koleksi tersebut – selain turut mula membuka pra-jualan untuk koleksi musim luruh/sejuk Convinience Wear yang terbaru. Bagi yang tidak mengetahui, antara produk paling menonjol adalah stoking berjalur berwarna FamilyMart yang mencatat jualan lebih 28 juta pasang setakat ini.
Setakat ini, FamilyMart dilihat masih mengekalkan harga yang mampu milik untuk barisan produk di butik ini. Sebagai rujukan, beberapa contoh harga adalah seperti stoking sekitar 429 yen dan kemeja-T asas sekitar 1,200 yen. Item lain seperti kardigan atau outerwear lain berada dalam lingkungan harga 2,000 hingga 3,000 yen, bergantung pada bahan dan rekaannya.


Berbeza dengan penawaran di kedai serbaneka mereka sebelum ini, penawaran produk di butik satelit ini hadir dengan sampel pakaian yang dipamerkan supaya pelanggan boleh menilai bahan dan saiz secara langsung sebelum membeli.
Butik fesyen satelit ini mengamalkan konsep nirtunai dan tanpa kakitangan (staff-free), di mana keseluruhan proses pembelian dijalankan melalui transaksi digital. Pendekatan ini bukan sahaja mencerminkan arah aliran runcit moden, tetapi juga merupakan respons terhadap cabaran sumber manusia yang dialami sektor runcit Jepun.

Di sebalik penghasilan koleksi ini ialah Hiromichi Ochiai, pereka fesyen Jepun yang pernah mereka kostum untuk segmen penutup Sukan Olimpik Rio 2016. Beliau dikenali dengan rekaan yang menggabungkan fabrik berkualiti, teknologi, dan gaya minimalis, menjadikan koleksi Convenience Wear lebih daripada sekadar pakaian kecemasan di kedai serbaneka.
Sehingga kini, FamilyMart telah berkembang kepada lebih 24,800 cawangan di seluruh dunia, termasuk lebih 16,000 kedai di Jepun dan lebih 8,500 kedai di pasaran antarabangsa seperti Taiwan, China, Thailand, Vietnam, Thailand, Filipina, Indonesia dan Malaysia.