Big Tiny Bawa Pengalaman Rumah Kecil Mesra Alam Ke Malaysia
Bat
Trend rumah kecil atau tiny homes semakin mendapat perhatian di seluruh dunia, dan kini konsep tersebut tiba di Malaysia melalui Big Tiny, sebuah syarikat perintis dalam bidang ekopelancongan dan hospitaliti rumah kecil.
Dua unit rumah kecil mesra alam kini telah dipasang di Amigo Clubhouse @ 16 Sierra Puchong, sekaligus menandakan kemunculan pertama Big Tiny di Lembah Klang. Dengan saiznya yang kompak tetapi lengkap dengan kemudahan, rumah kecil ini memberi peluang kepada orang ramai untuk merasai pengalaman percutian yang lebih intim dengan alam semula jadi.

Apa Yang Menarik Pada Rumah Kecil Mesra Alam Ini?
Tidak seperti rumah biasa, rumah kecil mesra alam ini hadir dengan ruang yang terhad – tetapi masih lagi muat untuk meletakkan dan menyusun kemudahan-kemudahan asas di dalamnya seperti katil, ruang tamu mini, pantri kecil yang dilengkapi kemudahan asas, dan tingkap luas yang membenarkan cahaya semula jadi memenuhi ruang.
Di dalam setiap unit juga, ia dilengkapi dengan ruang tandas yang lengkap dengan bilik mandi, menampilkan dua ruang berasingan bagi memberi keselesaan yang lebih privasi kepada tetamu. Walaupun bersaiz kompak, setiap inci direka untuk fungsi maksimum tanpa mengorbankan keselesaan.



Keunikan Big Tiny terletak pada falsafah reka bentuknya. Tidak seperti penginapan konvensional, setiap unit dibina dengan matlamat menggabungkan keselesaan moden dengan kelestarian alam.
Antara cirinya termasuk:
- sistem tadahan air hujan
- tandas kompos
- penggunaan tenaga solar sehingga 35 peratus
- struktur tanpa asas kekal (tidak menganggu tanah asal)
Dari segi bahan binaan, setiap unit Big Tiny diperbuat daripada light gauge steel yang dijangka akan meningkatkan jangka hayat struktur sehingga 50 tahun, di samping mengurangkan sisa binaan sebanyak sekurang-kurangnya 15 peratus.
Dengan konsep ini, ia bukan sahaja menjadikan rumah kecil Big Tiny unik dari segi pengalaman, tetapi juga sebagai simbol gaya hidup mampan.

Masa Hadapan Rumah Kecil Mesra Alam Di Malaysia
Diasaskan pada tahun 2017 oleh Adrian Chia, Dave Ng dan Jeff Yeo, Big Tiny bermula dengan rumah kecil pertama mereka di Australia sebelum berkembang ke lebih 19 negara termasuk Jepun, New Zealand, Taiwan, Singapura, beberapa negara Eropah dan kini Malaysia. Dengan lebih 650 unit rumah kecil beroperasi di bawah rangkaiannya, Big Tiny turut memiliki enam pejabat antarabangsa serta rangkaian 12 kilang pembuatan dan pemasangan, termasuk sebuah fasiliti di Kulai, Johor.
Kehadiran Big Tiny di Malaysia membuktikan bahawa trend rumah kecil bukan sekadar fenomena sementara, tetapi sebahagian daripada pergerakan global ke arah kehidupan yang lebih lestari dan minimalis. Ia memberi pilihan kepada rakyat tempatan untuk merasai pengalaman percutian berbeza, malah berpotensi menjadikannya sebagai peluang pelaburan kediaman alternatif.
Untuk pengetahuan anda, Big Tiny menampilkan model operasi yang menggabungkan reka bentuk, pembuatan, pemasangan dan pengurusan rumah kecil dalam satu ekosistem menyeluruh. Tanah yang kurang dimanfaatkan ditukar menjadi destinasi eko-pelancongan terpilih, sekaligus memberi pulangan kepada tiga pihak iaitu pemilik tanah memperoleh pendapatan tanpa kos modal besar, pemilik rumah kecil menikmati pulangan pasif, manakala pelancong berpeluang menginap di lokasi yang menawarkan pengalaman lebih dekat dengan alam semula jadi.
Di Malaysia, Big Tiny hadir menerusi kerjasama bersama IOI Properties Group Berhad, pemilik Amigo Clubhouse @ 16 Sierra, Puchong. Usahasama ini memperlihatkan keselarasan antara misi Big Tiny untuk menyediakan penginapan lestari berimpak rendah dengan komitmen IOI Properties terhadap prinsip ESG (Environmental, Social & Governance).

Bagi anda yang ingin melihat sendiri bagaimana kehidupan di dalam rumah kecil ini, Big Tiny akan mengadakan Big Tiny Fiesta pada 7–8 November 2025 di Amigo Clubhouse @ 16 Sierra, Puchong.
Acara ini memberi peluang untuk merasai sendiri pengalaman menginap dalam rumah kecil mesra alam, mengenali konsep reka bentuknya dengan lebih dekat, serta mendapatkan inspirasi tentang gaya hidup yang lebih ringkas tetapi bermakna.
Untuk maklumat lanjut, layari Facebook rasmi Big Tiny. Untuk menempah unit Big Tiny di negara lain sewaktu bercuti, anda boleh berkunjung ke platform Tiny Away (tinyaway.com) – merupakan hab utama bagi mereka yang ingin menempah pengalaman ini di seluruh dunia.