Pinktober – Risiko Menangguhkan Pemeriksaan Kanser Payudara
Lina Rosli
Setiap kali bulan Oktober menjelang, reben merah jambu menghiasi ruang awam, media sosial dan pelbagai kempen kesihatan. Namun, di sebalik lambakan mesej kesedaran, realitinya ramai wanita Malaysia masih menangguhkan langkah paling penting — pemeriksaan awal.
Menurut laporan Global Cancer Observatory 2022, kanser payudara kekal sebagai kanser paling kerap berlaku dalam kalangan wanita Malaysia, iaitu sebanyak 31.3 peratus daripada keseluruhan kes kanser wanita. Lebih membimbangkan, ia juga menjadi penyebab utama kematian akibat kanser. Walaupun pelbagai inisiatif kesihatan awam dijalankan, kelewatan diagnosis terus menjadi cabaran besar.
Risiko Menangguhkan Pemeriksaan
Dr Aqilah Othman, Pakar Perubatan Onkologi Klinikal di Pusat Perubatan Sunway (SMC), menegaskan bahawa kelewatan mendapatkan rawatan sering membawa implikasi serius. Semakin ramai wanita muda hadir untuk saringan, tetapi masih ramai yang datang apabila kanser sudah berada pada tahap lewat. Ada yang berharap ketulan itu hilang sendiri, ada pula yang takut. Bila akhirnya tampil berjumpa doktor, penyakit itu sudah lama bertapak.
Beliau turut menjelaskan bahawa saringan tidak seharusnya ditunggu sehingga simptom muncul kerana tujuan utamanya adalah mengesan kanser ketika seseorang masih rasa sihat. Jika simptom sudah timbul, ia bukan lagi saringan tetapi pemeriksaan lanjut.

Kajian menunjukkan bahawa pengesanan awal meningkatkan kadar sembuh serta kelangsungan hidup dengan ketara. Sekiranya dikesan awal, rawatan mungkin hanya memerlukan pembedahan. Namun, jika lewat, ia boleh melibatkan rawatan lebih intensif seperti kemoterapi, radioterapi dan terapi hormon.
Apabila kanser sudah merebak ke nodus limfa atau organ lain, rawatan menjadi lebih kompleks dan membebankan emosi pesakit. Prognosis juga lebih sukar.
Mengikut Panduan Amalan Klinikal (CPG) Malaysia, wanita berusia 50 hingga 74 tahun dengan risiko sederhana disarankan menjalani mamogram setiap dua tahun. Sementara itu, wanita berisiko tinggi – khususnya mereka dengan sejarah keluarga atau faktor genetik – perlu memulakan pemeriksaan lebih awal dan dengan kekerapan lebih tinggi.
Bagi wanita berusia bawah 40 tahun, Dr Aqilah turut mengesyorkan ultrasound kerana ketumpatan tisu payudara menjadikan mamogram kurang berkesan. Ultrasound adalah kaedah yang cepat, tidak menyakitkan dan sesuai untuk wanita lebih muda.

Halangan Dan Salah Faham Terhadap Kanser Payudara
Walaupun pelbagai kemudahan disediakan, kadar saringan masih rendah. Faktor seperti kekangan masa, kos, stigma dan maklumat salah masih membelenggu. Ramai wanita beranggapan tiada sebab untuk membuat saringan jika masih sihat, sedangkan itu sebenarnya masa paling penting untuk melakukannya.
Kerajaan, NGO dan hospital swasta kini menyediakan akses lebih mudah – termasuk mamogram percuma serta pemeriksaan terus tanpa memerlukan rujukan. Langkah ini bukan sahaja memudahkan proses, malah membantu mengurangkan kebimbangan pesakit.
Selain itu, mitos tentang mamogram dan biopsi juga masih tersebar luas. Hakikatnya, mamogram tidak menyebabkan kanser kerana dos radiasinya sangat rendah, manakala biopsi tidak membuatkan kanser merebak. Kebanyakan wanita juga sering menyangka mamogram terlalu menyakitkan, sedangkan pengalaman sebenar hanyalah beberapa saat ketidakselesaan yang setara dengan suntikan vaksin.

Peranan Gaya Hidup dan Seruan Tindakan
Faktor gaya hidup turut memainkan peranan besar dalam meningkatkan risiko kanser payudara. Obesiti, merokok, pengambilan alkohol dan makanan terproses boleh menyumbang kepada risiko. Sebaliknya, mengekalkan gaya hidup aktif serta pemakanan berkhasiat dapat membantu mengurangkan risiko.
Sempena Pinktober ini, wanita berusia antara 50 hingga 74 tahun yang belum menjalani mamogram dalam tempoh dua tahun disarankan segera berbuat demikian. Bagi mereka dalam lingkungan usia 40-an pula, perbincangan dengan doktor penting bagi menentukan keperluan memulakan saringan lebih awal.
Tanda-tanda seperti ketulan, perubahan kulit, lelehan dari puting atau sakit berpanjangan lebih daripada empat minggu juga tidak boleh diabaikan. Jika ia berlaku, dapatkan nasihat perubatan dengan segera tanpa menangguh.
Dengan kemudahan perubatan moden, rawatan kini lebih mudah diuruskan dan pesakit kanser masih boleh meneruskan kehidupan seperti biasa. Apa yang penting ialah bertindak awal dan mendapatkan rawatan tepat.
Sebagai pusat perubatan swasta terkemuka, Pusat Perubatan Sunway menawarkan rawatan menyeluruh – daripada saringan awal hingga rawatan lanjutan – dengan sokongan pakar pelbagai disiplin dan teknologi terkini.
Kesedaran adalah langkah pertama, tetapi tindakan adalah kunci. Pinktober seharusnya bukan sekadar simbol, sebaliknya peluang untuk setiap wanita Malaysia melindungi diri mereka dengan pemeriksaan awal.