Benjolan Pada Pangkal Ibu Jari Kaki? Ketahui Punca Bunion

October 6, 2025
Kesihatan

Lina Rosli

Pernahkah anda perasan segelintir individu mempunyai benjolan tulang di pangkal ibu jari kaki? Atau mungkin, anda sendiri turut mengalami akan hal ini.

Bagi yang tidak mengetahui, benjolan ini sebenarnya dikenali sebagai bunion atau nama perubatannya adalah Hallux Valgus. Walaupun ia sering dilihat sebagai masalah biasa, bunion sebenarnya adalah kecacatan struktur kaki yang boleh menyebabkan ketidakselesaan dan kesukaran untuk berjalan.

Apakah Sebenarnya Bunion Dan Bagaimana Ia Boleh Terjadi?

Bunion adalah benjolan dan tulang yang tertonjol yang terbentuk pada sendi di pangkal ibu jari kaki. Secara lebih terperinci, bunion terbentuk pada Sendi Metatarsophalangeal Pertama (MTPJ). Ini adalah sendi terbesar di jari kaki, di mana tulang metatarsal pertama (tulang panjang di kaki) bertemu dengan tulang falang (tulang jari kaki) ibu jari.

Keadaan ini berlaku apabila ibu jari kaki anda bergerak condong ke arah jari kaki yang lain sekaligus menghimpit jari kaki yang lain.

Dengan tekanan yang berterusan pada bahagian kaki ini, ia lama kelamaan menyebabkan sendi di pangkal ibu jari iaitu sendi metatarsophalangeal mula menonjol ke luar dan kemudian membentuk benjolan yang ketara pada kaki.

Secara umumnya, keadaan ini menyebabkan sendi asal tersasar dari kedudukan normalnya. Kulit di atas bunion boleh menjadi merah, bengkak, dan menyakitkan, terutamanya apabila ia bergeser dengan kasut.

Tahukah Anda? Bunion juga boleh berlaku di pangkal jari kelingking kaki. Keadaan ini dipanggil bunionette atau tailor’s bunion.

Bagaimana Bunion Boleh Terjadi?

Bunion berkembang secara beransur-ansur dari masa ke semasa, dan ia sering disebabkan oleh gabungan beberapa faktor. Ia bukan hanya disebabkan oleh pemakaian kasut yang salah, walaupun itu adalah faktor penyumbang yang besar.

Punca utama adalah kelainan struktur atau bentuk kaki yang diwarisi. Ini bermakna sesetengah orang memang lebih cenderung untuk mendapat bunion kerana bentuk kaki mereka.

Berikut adalah faktor-faktor utama yang menyumbang kepada pembentukan bunion:

#1 Faktor Keturunan (Genetik)

Jika ahli keluarga anda mempunyai bunion, anda mempunyai risiko yang lebih tinggi untuk mengalaminya. Ini kerana anda mungkin mewarisi jenis struktur kaki tertentu, seperti:

  • Kaki rata (flat foot).
  • Sendi atau ligamen yang terlalu longgar.
  • Bentuk tulang metatarsal yang tidak normal.

Kelainan struktur ini mengubah biomekanik kaki anda, menyebabkan sendi di pangkal ibu jari kaki miring ke arah tepi. Lama-kelamaan, tulang ibu jari terdorong ke arah jari-jari lain dan membentuk bonjolan.

#2 Jenis Kasut Yang Tidak Sesuai

Ini adalah faktor yang sering memburukkan atau mempercepatkan perkembangan bunion, terutamanya dalam kalangan wanita.

  • Kasut tumit tinggi – Ia memaksa kaki ke hadapan dan menekan jari-jari kaki ke dalam ruang sempit.
  • Kasut yang ketat, kecil atau berhujung tirus – Kasut jenis ini memerah jari-jari kaki bersama-sama, memberikan tekanan yang tidak wajar pada sendi ibu jari kaki.

Tekanan berterusan ini akan mendorong ibu jari ke arah jari kedua, seterusnya memburukkan lagi kecondongan dan penonjolan sendi.

#3 Keadaan Kesihatan Lain

Selain faktor kasut dan keturunan, penyakit sendi seperti arthritis juga boleh menyumbang kepada pembentukan bunion akibat keradangan kronik yang menjejaskan keseimbangan sendi.

Dalam sesetengah kes, kecederaan pada kaki atau cara berjalan yang tidak seimbang turut menyebabkan tekanan tidak sekata pada ibu jari, lalu mempercepatkan perubahan bentuk tulang.

#4 Kesan Trauma Dan Aktiviti Yang Memburukkan Kaki

Tekanan berulang pada kaki seperti berdiri atau berjalan untuk tempoh yang panjang, turut menjadi antara faktor risiko. Apabila kaki menerima tekanan yang sama berulang kali setiap hari, sendi ibu jari akan menanggung beban lebih besar daripada biasa.

Lama-kelamaan, keadaan ini boleh menyebabkan sendi berganjak dan membentuk bunion. Begitu juga dengan kecederaan pada kaki seperti terseliuh atau hentakan kuat yang boleh menjejaskan keseimbangan struktur tulang dan mempercepatkan pembentukan benjolan tersebut.

Mengatasi Dan Mencegah Bunion

Walaupun bunion selalunya memerlukan masa bertahun-tahun untuk terbentuk, mengabaikannya boleh menyebabkan rasa sakit yang berterusan dan membataskan pergerakan.

Rawatan biasanya bermula dengan kaedah konservatif. Menurut pakar, pendekatan rawatan ini bergantung pada tahap keparahan bunion. Untuk kes ringan, doktor kebiasaannya akan mengesyorkan pemakaian kasut yang lebih lebar dan lembut, penggunaan pelapik khas (orthotic) serta pad pelindung bagi mengurangkan tekanan.

Sekiranya kesakitan berterusan, ubat tahan sakit dan fisioterapi mungkin disarankan. Namun, bagi kes yang sudah teruk dan menjejaskan pergerakan, pembedahan (bunionectomy) merupakan pilihan untuk membetulkan semula kedudukan tulang.

Harus diingatkan, pencegahan adalah lebih baik daripada rawatan. Pilihlah kasut yang memberi ruang yang cukup untuk jari-jari kaki anda – terutamanya jika anda mempunyai sejarah keluarga bunion.

© 2025 Amanz Media Sdn Bhd