Musim Influenza Kembali – Ini Apa Yang Perlu Anda Lakukan Dan Amalkan Langkah Berjaga-Jaga
Lina Rosli
Beberapa minggu kebelakangan ini, kes influenza dilaporkan semakin meningkat di Malaysia — ini berkemungkinan besar berikutan faktor cuaca yang tidak menentu dan ramai mula menghabiskan lebih banyak masa di ruang tertutup.
Walaupun sering disamakan dengan selesema biasa, influenza sebenarnya jauh lebih serius dan boleh menyebabkan komplikasi yang lebih teruk terutamanya bagi warga emas, kanak-kanak kecil dan individu dengan sistem imun yang lemah.

Ketahui Punca Dan Gejala Influenza?
Secara umumnya, influenza ini disebabkan oleh virus influenza A atau B yang mudah merebak dan tular melalui titisan udara – lebih-lebih lagi apabila seseorang batuk, bersin atau bercakap. Ia juga boleh tersebar melalui sentuhan – contohnya apabila anda menyentuh permukaan yang tercemar sebelum menyentuh hidang atau mulut.
Selain jangkitan virus itu sendiri, terdapat beberapa faktor yang boleh meningkatkan risiko seseorang dijangkiti influenza, antaranya:
- Sistem imun yang lemah sama ada disebabkan oleh penyakit kronik, kekurangan nutrisi atau keletihan melampau.
- Persekitaran tertutup dan sesak seperti sekolah, pejabat, atau pengangkutan awam yang memudahkan penularan virus.
- Cuaca sejuk atau lembap yang menyebabkan ramai menghabiskan masa di dalam bangunan tanpa pengudaraan baik.
- Kurang penjagaan kebersihan diri seperti tidak mencuci tangan dengan betul atau berkongsi peralatan peribadi.
Antara gejala influenza yang biasanya dialami oleh individu termasuklah:
- Demam panas secara tiba-tiba
- Batuk kering dan sakit tekak
- Sakit kepala dan sakit otot
- Hidung tersumbat atau berair
- Keletihan melampau dan hilang selera makan
- Kadang-kala disertai muntah atau cirit-birit, terutama dalam kalangan kanak-kanak.
Jika anda mula mengalami simptom-simptom ini, penting untuk berehat dan mendapatkan rawatan awal di klinik atau hospital. Influenza boleh menyerang dengan cepat, dan rawatan awal mampu mengurangkan tempoh serta tahap keparahan jangkitan.

Langkah Pencegahan Penularan Influenza
Sebagai persediaan, setiap individu haruslah sentiasa berwaspada dengan jangkitan virus influenza ini. Oleh itu, untuk mencegah penularan dan penyebaran virus, setiap individu haruslah mengikuti langkah berjaga-jaga yang disarankan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia:
- Kekal di rumah jika anda mengalami rasa tidak sihat. Elakkan ke tempat kerja atau sekolah sekiranya anda mengalami demam, batuk atau sakit tekak.
- Amalkan langkah penjagaan kebersihan tangan. Basuh tangan dengan sabun dan air sekurang-kurangnya 20 saat, atau gunakan alat sanitasi tangan berasaskan alkohol.
- Tutup mulut dan hidung ketika batuk atau bersin. Gunakan tisu atau siku untuk menutup mulut bagi mengelakkan penyebaran titisan virus.
- Pakai pelitup muka di tempat awam. Langkah ini penting terutama di kawasan sesak atau jika anda bergejala.
- Kekalkan gaya hidup sihat. Tidur yang mencukupi, memastikan badan sentiasa terhidrat dan ambil makanan yang berkhasiat bagi memastikan sistem imunisasi badan terjaga.
- Dapatkan vaksin influenza. Vaksin ini membantu mengurangkan risiko jangkitan teruk dan sangat digalakkan bagi golongan berisiko tinggi seperti warga emas, kanak-kanak bawah lima tahun dan individu dengan penyakit kronik.
Jangkitan influenza ini akan sentiasa ada, namun dengan langkah pencegahan yang betul — anda boleh terus menjalani aktiviti harian dengan lebih selamat tanpa risaukan risiko jangkitan yang teruk.