Ulasan Xiaomi Smart Band 10 Glimmer Edition – Untuk Individu Yang Ingin Kekal Bergaya

October 9, 2025
Gajet Dan Teknologi

Lina Rosli

Ketika pertama kali menyarungkannya pada pergelangan tangan, saya boleh katakan amat menggemari rekaannya yang tampak tidak janggal jika dipadankan dengan outfit yang lebih glamor. Ia serta-merta mengubah persepsi bahawa penjejak kecergasan wajib kelihatan sporty dan diperbuat daripada plastik semata-mata.

Mana tidaknya, Glimmer Edition ini tampil dengan bingkai aloi aluminium berkilat tinggi yang disalut kemasan PVD berwarna emas—ia memberikan kilauan yang memancarkan aura mahal. 

Pada bahagian tali pula, ia menampilkan binaan daripada aloi aluminium yang eksklusif, dihiasi dengan kristal kaca Preciosa yang mempesona, memberikan sentuhan elegan dan ‘mahal’ yang jarang ditemui dalam segmen peranti boleh-pakai mampu milik. 

Dengan Xiaomi Smart Band 10 Glimmer Edition, ia bukan lagi sekadar alat untuk mengira langkah – tetapi ia adalah aksesori fesyen yang bergaya, sedia menemani anda dari gimnasium ke majlis makan malam tanpa perlu berkompromi dengan gaya.

Reka Bentuk – Antara Fesyen Dan Fungsi

Secara umumnya, untuk Glimmer Edition ini, bahagian tali jam adalah tumpuan utama — diperbuat daripada logam berkualiti tinggi dan dihiasi enam kristal kaca Preciosa. Hasilnya, peranti ini tampak seperti seutas gelang mewah, bukan sekadar penjejak aktiviti.

Walaupun tampil bergaya, dimensinya kekal praktikal. Dengan ukuran 46.57 × 22.54 × 10.95 mm dan berat 16.25g (tanpa tali), ia terasa ringan dan selesa dipakai sepanjang hari, sama ada di pejabat mahupun ketika bersenam.

Dalam beberapa situasi formal, kilauannya cukup lembut untuk melengkapkan pakaian profesional tanpa tampak berlebihan. Namun, ketika bersenam intensif seperti HIIT, saya mendapati tali kristal agak kurang fleksibel – dan saya lebih selesa menukar kepada tali silikon standard untuk kestabilan dan pergerakan yang lebih bebas.

Bukan itu sahaja, disebabkan engselnya terletak di bahagian dalam, saya mengalami kesukaran ketika setiap kali ingin memakai dan membuka pakai jam ini. Ini kerana tiada butang atau mekanik yang membolehkan ia dibuka tanpa perlu memasukkan jari ke dalam ruang antara tali jam dan tangan.

Paparan Lebih Besar Dan Lebih Cerah

Dari segi paparan, Xiaomi Smart Band 10 Glimmer Edition menampilkan skrin AMOLED 1.72 inci— satu peningkatan ketara berbanding 1.62 inci pada Xiaomi Smart Band 9. 

Kecerahan maksimumnya kini mencapai 1,500 nits, menjadikannya antara yang paling terang dalam kelasnya. Ini amat ketara ketika saya menggunakan band ini untuk membaca notifikasi di bawah cahaya matahari terik — teks kekal jelas dan mudah dibaca tanpa perlu menutup skrin dengan tangan.

Selain itu, edisi ini turut disertakan dengan muka jam eksklusif ulang tahun ke-10 yang diinspirasikan daripada rekaan kristal. Reka bentuk ini bukan sahaja unik, tetapi melengkapkan konsep “Glimmer” yang ditekankan oleh Xiaomi.

Fungsi Penjejakan Kecergasan Menyeluruh

Walaupun tampil ibarat aksesori mewah, Xiaomi Smart Band 10 Glimmer Edition tetap setia pada fungsinya sebagai alat pemantauan kesihatan dan kecergasan. Ia menyokong lebih 150 mod sukan, termasuk larian, yoga, berbasikal dan aktiviti air, lengkap dengan penarafan kalis air 5ATM (sehingga 50 meter).

Dalam penggunaan sebenar, saya mendapati sensor optik kadar degupan jantung dan SpO₂ yang dinaik taraf memberikan bacaan lebih stabil, terutamanya semasa aktiviti berintensiti tinggi.

Selain itu, pemantauan kesihatan berterusan seperti degupan jantung 24 jam, tahap oksigen darah, tekanan harian dan pola tidur berfungsi dengan baik. Ciri Penjejakan Tidur Lanjutan juga memberikan laporan pagi yang mudah difahami — termasuk analisis tidur ringan, nyenyak dan REM.

Berdasarkan pengalaman penggunaan, saya mendapati laporan tidur yang dipaparkan agak tepat — terutamanya dalam mengesan waktu bangun pada tengah malam. Walaupun sesetengah data mungkin sedikit berbeza dengan bacaan aplikasi pihak ketiga, ia masih memberi gambaran jelas tentang kualiti tidur harian.

Ciri lain yang saya gemari termasuklah fungsi pengurusan kesihatan wanita seperti penjejakan kitaran haid menjadikannya alat yang sesuai digunakan secara berterusan tanpa perlu membuka telefon.

Prestasi, Perisian Dan Hayat Bateri

Dari segi prestasi, Xiaomi Smart Band 10 Glimmer Edition menggunakan Bluetooth 5.4 bagi sambungan pantas dan stabil. 

Penjejak kesihatan ini juga hadir dengan bateri berkapasiti 233mAh. Ini bersamaan dengan ketahanan sehingga 21 hari dalam mod penggunaan biasa, atau sekitar 9 hari jika mod paparan sentiasa hidup (AOD) diaktifkan.

Dalam pengalaman saya, dengan notifikasi dan penjejakan kesihatan dihidupkan, baterinya mampu bertahan sekitar 12 hari sebelum perlu dicas semula. Bagi saya, ia satu prestasi yang amat baik untuk peranti berskrin besar dan berwarna.

Bercakap mengenai Mi Fitness, Semua maklumat diselaraskan melalui aplikasi yang kini lebih minimalis dari segi paparan data dan prestasi penyegerakan.

Antara kelebihan utama aplikasi ini ialah cara ia menyusun laporan yang mana ia mudah difahami, namun tetap profesional. 

Misalnya, aktiviti harian dipaparkan dengan perincian yang jelas, manakala pengguna juga boleh menetapkan matlamat kecergasan mengikut keutamaan masing-masing. Dalam ujian saya, penyegerakan antara band dan telefon berlaku hampir serta-merta tanpa sebarang gangguan sambungan.

Komen – Pengalaman Penggunaan Harian

Apa yang membuatkan Glimmer Edition istimewa ialah kemampuannya menyesuaikan diri dalam pelbagai suasana. Ketika berlari di taman, skrin AMOLED yang cerah menjadikannya mudah untuk menjejaki kadar degupan jantung dan jarak tanpa gangguan.

Namun, pada waktu malam ketika menghadiri majlis rasmi, tali kristalnya menyerlahkan sisi bergaya yang jarang dimiliki penjejak kecergasan.

Satu-satunya kekurangan yang saya rasai ialah saiz skrin yang masih kecil untuk interaksi lanjutan, seperti membaca mesej atau menerokai aplikasi yang terbina terus pada peranti.

Di samping itu, disebabkan ia menggunakan bahan binaan yang berkilau, ia seringkali meninggalkan kesan cap jari sama ada pada tali jam ataupun pada kerangka luar jam.

Secara umumnya, Xiaomi Smart Band 10 Glimmer Edition membuktikan bahawa teknologi tidak semestinya membosankan atau bersifat teknikal semata-mata. Ia menggabungkan fungsi penjejakan kesihatan yang komprehensif, paparan berkualiti tinggi dan reka bentuk berinspirasi fesyen dalam satu pakej yang mampu milik.

Bagi pengguna yang mahukan lebih daripada sekadar penjejak kesihatan dan mementingkan estetika dalam setiap aksesori — Glimmer Edition adalah pilihan ideal. Ia bukan hanya memantau kesihatan, tetapi turut menonjolkan gaya dan personaliti pemakainya.

Untuk mendapatkannya, anda boleh sama ada melakukan pembelian terus di rangkaian fizikal Mi Store ataupun melakukan pesanan secara atas talian di platform edagang seperti Shopee, Lazada dan juga Mi Store pada harga RM369.00 seutas.

© 2025 Amanz Media Sdn Bhd