G-SHOCK Memperkenalkan Jam Tangan Edisi Khas Sempena Pinktober
Lina Rosli
Bersempena dengan bulan kesedaran kanser payudara, G-SHOCK memperkenalkan GMA-S145PK, jam tangan serba merah jambu yang menjadi simbol perjuangan dan sokongan kepada kempen Pink Ribbon di seluruh dunia. Ia merupakan model ketiga yang dihasilkan khusus bagi menyokong inisiatif ini, dan tampil berasaskan reka bentuk GMA-S140 yang terkenal dengan gaya sporty serta moden.

Menariknya, GMA-S145PK mengekalkan tona merah jambu ikonik yang turut digunakan dalam dua edisi sebelumnya. Reka bentuk monokromatiknya bukan sahaja menambah seri pada gaya harian anda, malah membawa mesej yang lebih besar — iaitu tentang kekuatan, keyakinan, dan semangat untuk melawan penyakit.
Lebih daripada sekadar aksesori, edisi khas ini mencerminkan komitmen Casio terhadap kempen kesedaran kanser payudara, yang menekankan kepentingan pengesanan awal, diagnosis tepat, dan rawatan yang segera.

G-SHOCK dan Pink Ribbon berkongsi nilai yang sama yang mana komited dalam membina dunia di mana setiap individu bebas menjadi diri sendiri dan tidak terhalang oleh penyakit.
Menjelang “Pink October”, bulan kesedaran kanser payudara, G-SHOCK mengajak semua untuk turut serta dalam kempen kutipan dana dan aktiviti kesedaran yang akan diadakan di pelbagai lokasi di seluruh dunia. Ia bukan sekadar tentang memakai warna merah jambu, tetapi tentang berdiri bersama mereka yang sedang berjuang — dan menunjukkan bahawa setiap sokongan, sekecil mana pun, mampu membawa perubahan besar.
Bagi yang berminat, jam tangan ini dijual pada harga RM599.00 seutas dan boleh dibeli menerusi laman web rasmi Casio G-SHOCK bermula hari ini.