Belanjawan 2026: Menyemarakkan Semula Daya Tarikan Malaysia Sempena Tahun Melawat Malaysia 2026

October 10, 2025
Hotel & Pelancongan

Lina Rosli

Tahun 2026 dijangka menjadi tahun yang cukup bermakna buat industri pelancongan Malaysia. Dalam pembentangan Belanjawan 2026, kerajaan menegaskan komitmen besar terhadap pelaksanaan Tahun Melawat Malaysia 2026 (TMM2026) — kempen yang bakal mengangkat semula nama Malaysia di pentas pelancongan dunia.

Untuk Belanjawan 2026, kerajaan Malaysia akan memperuntukkan lebih RM700 juta untuk memacu sektor pelancongan — bukan sekadar bagi menarik kehadiran pelancong, tetapi juga untuk memastikan manfaatnya dirasai oleh pelbagai lapisan masyarakat, daripada peniaga kecil hingga ke penggiat seni tempatan.

Daripada jumlah itu, RM500 juta disalurkan khusus untuk menjayakan kempen TMM2026, manakala RM60 juta lagi disediakan bagi tujuan promosi, pemasaran serta penganjuran acara pelancongan dan kebudayaan.

Dalam masa yang sama, RM50 juta turut diperuntukkan bagi menyokong penggiat seni dan warisan seperti pembuat kraf, pengusaha batik dan tenunan agar terus berdaya saing dan menjana pendapatan melalui kreativiti mereka.

Kerajaan juga memperkenalkan geran padanan bernilai RM50 juta bagi menggalakkan penerbangan antarabangsa dan carter ke Malaysia — dengan kejayaan awal menarik nama-nama besar seperti British Airways, Hong Kong Express dan Jiangxi Air.

Bagi memastikan destinasi warisan terus terpelihara, RM25 juta diperuntukkan untuk penambahbaikan kemudahan pelancongan termasuk kerja pemuliharaan di Taman Negara Gunung Mulu (Sarawak), Lembah Lenggong (Perak) dan FRIM Forest Park (Selangor) yang baru diiktiraf sebagai tapak UNESCO.

Tidak ketinggalan, sektor pelancongan kesihatan turut menerima suntikan RM20 juta bagi mempergiat usaha promosi melalui Majlis Pelancongan Kesihatan Malaysia — menandakan bahawa pelancongan Malaysia bukan hanya tentang pemandangan dan budaya, tetapi juga kesejahteraan.

Dengan sasaran untuk menarik 47 juta pelancong dan menjana pendapatan pelancongan sebanyak RM329 bilion, Belanjawan 2026 jelas memberi tumpuan kepada pemulihan dan pertumbuhan mampan sektor pelancongan negara.

© 2025 Amanz Media Sdn Bhd