Belanjawan 2026: Pelepasan Cukai Pendapatan Sehingga RM1,000 Untuk Rakyat Yang Melancong Dalam Negara
Lina Rosli
Dalam usaha menjayakan Tahun Melawat Malaysia 2026 (TMM2026), kerajaan memperkenalkan langkah menarik bagi menggalakkan rakyat sendiri menerokai keindahan negara.
Melalui Belanjawan 2026, individu kini boleh menikmati pelepasan khas cukai pendapatan sehingga RM1,000 bagi perbelanjaan yang melibatkan bayaran fi kemasukan ke pusat pelancongan tempatan dan program kebudayaan.

Langkah ini bukan sahaja bertujuan untuk merancakkan industri pelancongan tempatan, tetapi juga menggalakkan rakyat Malaysia menghargai kekayaan budaya dan warisan yang ada di tanah air sendiri.
Sama ada melawat taman tema, muzium, taman negara atau menghadiri persembahan seni tempatan — setiap pengalaman kini bukan sekadar menyeronokkan, malah memberikan sedikit kelegaan dari segi kewangan.

Bukan itu sahaja, inisiatif ini juga dijangka memberi manfaat secara langsung kepada pengusaha pelancongan, peniaga kecil serta komuniti setempat yang terlibat dalam sektor ini.
Dengan lebih ramai rakyat memilih untuk bercuti dalam negara, ia sekaligus membantu menggerakkan ekonomi domestik dan memelihara kelestarian destinasi pelancongan tempatan.