Belanjawan 2026: Menaiktaraf Warisan Kuala Lumpur, Pembukaan Muzium Tekstil Di Merdeka 118
Lina Rosli
Kuala Lumpur bukan sekadar simbol kemajuan negara, tetapi juga lembaran sejarah yang terus berkembang bersama masa.
Dalam Belanjawan 2026, kerajaan menegaskan komitmen untuk memastikan denyut warisan ibu kota kekal hidup melalui peluasan Usaha Warisan KL — satu inisiatif penting yang menyatukan nilai sejarah dengan semangat pembangunan moden.
Melalui peluasan ini, kerja pemuliharaan akan diteruskan di Stesen Keretapi Kuala Lumpur dan Kompleks Dayabumi, dua mercu tanda yang menjadi saksi perjalanan kota ini sejak berdekad lalu.

Melalui pemuliharaan ini, ia bukan sekadar mengembalikan identiti seni bina dan nilai budaya Malaysia, tetapi turut menjadikan keselesaan penggunaan rakyat setempat.
Ia bukan sekadar usaha membaik pulih bangunan, tetapi juga langkah mengembalikan identiti seni bina dan nilai budaya yang menjadi wajah asal Kuala Lumpur.
Dalam masa yang sama, Pembangunan Merdeka 118 oleh PNB bakal menjadi tumpuan baharu apabila Muzium Tekstil dijangka dibuka pada tahun hadapan.

Muzium ini akan menampilkan tekstil dunia Melayu yang mana akan memperlihatkan kehalusan tenunan, batik dan warisan busana tempatan yang menjadi sebahagian daripada naratif budaya serantau.
Bukan itu sahaja, kerajaan Malaysia turut menyasarkan untuk pemuliharaan dua lokasi bersejarah negara iaitu Stadium Merdeka dan Stadium Negara, yang akan terus dipelihara sebagai simbol perjuangan, semangat sukan dan kenangan kolektif rakyat Malaysia.