Vegan Tapi Tidak Sihat – Inilah Pentingnya Nutrisi Lengkap Dalam Diet Berasaskan Tumbuhan

October 13, 2025
Gaya Hidup

Bat

Trend pemakanan berasaskan tumbuhan kini semakin mendapat perhatian ramai. Ramai memeilih untuk menjadi vegan kerana mahu hidup lebih sihat, menjaga alam sekitar, atau menolak penggunaan produk haiwan. Namun begitu, timbul persoalan – adakah diet vegan sentiasa menjamin kesihatan?

Buat pengetahun anda, vegan merupakan kepada individu yang memilih untuk menghindari semua produk berasaskan haiwan, bukan sahaja dalam pemakanan seperti daging, telur dan tenusu, tetapi juga dalam aspek lain kehidupan termasuk pakaian, aksesori dan produk kosmetik.

Kes yang dilaporkan baru-baru ini, termasuk kes seorang wanita di Bali yang dikatakan meninggal dunia akibat kekurangan nutrisi, mula membuka mata ramai tentang sisi lain gaya hidup vegan. Walaupun niat untuk hidup shat itu baik, tubuh manusia tetap memerlukan pelbagai jenis zat yang mesti diambil secara seimbang.

Diet Vegan – Sihat Tapi Perlu Diukur

Secara asasnya, diet vegan ini kaya dengan serat, vitamin, mineral dan antioksiden yang sangat baik untuk kesihatan dalaman. Tetapi jika tidak diatur dengan teliti, ia boleh menyebabkan kekurangan beberapa nutrisi penting yang biasanya diperolehi daripada sumber haiwan.

Antaranya ialah protein, zat besi, vitamin B12, kalsium, zink dan omega-3. Kekurangan nutrien ini boleh menyebabkan tubuh menjadi lemah, cepat letih, mengalami masalah kulit, rambut gugur, gangguan hormon atau bahkan anemia.

Tubuh Perlu Seimbang, Bukan Sekadar “Hijau”

Keseimbangan adalah kunci utama dalam apa jua gaya pemakanan. Menjadi vegan tidak bermaksud seseorang hanya makan sayur-sayuran mentah atau buah-buahan semata-mata. Tubuh memerlukan kombinasi pelbagai jenis makanan tumbuhan yang mengandungi protein, karbohidrat, lemak sihat dan mikronutrien lain.

Contohnya, kombinasi kekacang dan bijirin seperti nasi dengan kacang dhal atau roti dengan hummus boleh melengkapkan keperluan protein. Manakala sumber zat besi boleh didapati daripada bayam, lentil dan biji labu — tetapi ia diserap lebih baik apabila diambil bersama vitamin C seperti jus oren atau tomato.

Vitamin B12 pula agak sukar didapati daripada sumber tumbuhan, jadi pengambilan makanan diperkaya (fortified foods) atau suplemen disarankan bagi vegan jangka panjang.

Kekurangan nutrisi dalam diet vegan biasanya bukan berpunca daripada sayur-sayuran itu sendiri, tetapi daripada pola makan yang tidak seimbang. Ada yang terlalu ekstrem dengan mengehadkan jenis makanan, ada juga yang tidak menggantikan zat daripada sumber haiwan dengan alternatif yang mencukupi.

Dalam kes ekstrem, tubuh yang kekurangan nutrien penting boleh menjadi lemah dan lebih mudah terdedah kepada masalah kesihatan. Inilah sebabnya penting untuk mendapatkan nasihat daripada pakar pemakanan sebelum memulakan diet vegan sepenuhnya, terutama bagi individu yang mempunyai keperluan khas seperti wanita hamil, kanak-kanak atau warga emas.

Adakah Diet Vegan Sentiasa Menjamin kesihatan?

Bagi menjawab semula persoalan, diet vegan tidak semestinya menjamin kesihatan yang sempurna. Walaupun ia mampu membantu menurunkan risiko penyakit kronik seperti obesiti, tekanan darah tinggi dan kolesterol, kesannya tetap bergantung kepada keseimbangan nutrisi dan cara pemakanan seseorang.

Oleh itu, jadilah individu yang peka terhadap keperluan nutrisi tubuh. Fahami apa yang diperlukan oleh badan agar keseimbangan nutrien dapat dicapai dan kesihatan terus terpelihara.


© 2025 Amanz Media Sdn Bhd