Perodua Melancarkan Superapp P-Circle Dan Jam Pintar P-Go

October 13, 2025
Aplikasi

Lina Rosli

Perodua kini bukan lagi sekadar pengeluar kenderaan nasional — jenama ini sedang melangkah ke dunia gaya hidup digital dengan pelancaran superapp terbaharu mereka, P-Circle.

Superapp ini bukan hanya memudahkan urusan pemilik kereta, tetapi turut memperkenalkan konsep Mobility as a Lifestyle atau mobiliti sebagai gaya hidup yang merangkumi kemudahan untuk pelbagai keperluan harian — dari pembayaran, kesihatan, hinggalah hiburan.

Dan kini, ia digabungkan di bawah satu aplikasi.

Apakah Fungsi Dan Ciri Yang Ditawarkan Di P-Circle?

Melalui P-Circle, Perodua memperkenalkan pelbagai komponen digital yang memenuhi keperluan harian pengguna moden:

  • P-Duit – e-wallet rasmi Perodua yang memudahkan urusan pembayaran, termasuk di stesen pengecasan EV.
  • P-Vehicle – modul kawalan jauh untuk EV Perodua akan datang, membolehkan pengguna menghidupkan enjin, menjejak lokasi dan mengawal penyaman udara dari jauh.
  • P-Charge & P-Charge Mobile – kemudahan pengecasan di rumah atau semasa dalam perjalanan, lengkap dengan bantuan kecemasan oleh pasukan khas.
  • P-Health – jam pintar dengan sistem pemantauan kesihatan pengguna.
  • P-Entertainment – platform penstriman kandungan tempatan yang boleh diakses terus daripada aplikasi.
  • P-Marketplace – ruang membeli alat ganti rasmi Perodua dan aksesori tulen, dengan fasa kedua bakal membuka peluang kepada penjual tempatan dan rakan jenama lain seperti TM Unifi.

Bukan sekadar aplikasi untuk pemilik kereta, P-Circle turut memperkenalkan ekosistem gaya hidup pintar. Antara ciri lain yang menarik termasuk:

  • P-Calendar, untuk peringatan dan jadual perjalanan.
  • P-Home, sistem rumah pintar yang boleh disambungkan dengan telefon atau jam tangan.
  • P-Reward, program ganjaran yang membolehkan pengguna mengumpul dan menebus mata melalui penggunaan aplikasi.
  • P-Chat, forum komuniti bagi pemilik kenderaan Perodua untuk berkongsi tips dan pengalaman.

Menurut Perodua, aplikasi P-Circle kini ditawarkan secara percuma, namun syarikat menjangkakan penambahan beberapa fungsi dan penawaran baharu pada masa hadapan yang mungkin disertakan dengan pilihan berbayar.

Bagaimana Untuk Mendaftar Di Aplikasi P-Circle?

Bagi anda yang ingin mencuba sendiri pengalaman gaya hidup digital bersama Perodua, proses pendaftaran P-Circle adalah sangat mudah.

  1. Muat turun aplikasi. Aplikasi P-Circle boleh dimuat turun secara percuma melalui Apple App Store atau Google Play Store. Cari “P-Circle by Perodua” dan tekan Install.
  2. Daftar akaun baharu. Setelah aplikasi dibuka, pilih pilihan Sign Up.
  3. Sahkan akaun anda. Kod pengesahan akan dihantar ke nombor telefon yang didaftarkan. Masukkan kod tersebut untuk mengaktifkan akaun anda.
  4. Lengkapkan maklumat peribadi di bahagian Profil. Apabila akaun telah diaktifkan, aplikasi ini akan memerlukan anda untuk melengkapkan maklumat peribadi seperti nama, nombor kad pengenalan, emel dan lain-lain.
  5. Sambungkan dengan maklumat perbankan. Untuk menggunakan ciri seperti P-Duit, P-Charge dan lain-lain memerlukan anda melengkap eKYC sebelum melakukan pembayaran.

Jam Tangan Pintar P-Go – Sambungan Antara Pengguna Dan Kenderaan

Menambah dimensi baharu kepada pengalaman digital, Perodua turut memperkenalkan jam tangan pintar P-Go — peranti boleh pakai yang direka untuk berfungsi seiring dengan aplikasi P-Circle.

Melalui P-Go, pengguna boleh:

  • Menjejak kesihatan harian mereka menerusi ciri P-Health,
  • Menerima notifikasi masa nyata daripada aplikasi P-Circle,
  • Dan dalam masa terdekat, mengawal beberapa fungsi kenderaan elektrik Perodua secara terus dari pergelangan tangan mereka.

Dengan reka bentuk moden dan paparan yang intuitif, jam tangan pintar ini bukan sekadar aksesori — tetapi pelengkap kepada gaya hidup digital Perodua yang dijual pada harga RM950 seutas.

Bagi yang berminat untuk memuat-turun, aplikasi P-Circle kini boleh dimuat turun melalui Apple App Store dan Google Play Store, manakala jam pintar dan pengecas mudah alih P-Circle boleh didapati di semua Pusat Servis Perodua di seluruh negara.

© 2025 Amanz Media Sdn Bhd