Influenza – Tips Penting Untuk Bantu Lindungi Anda Dan Keluarga
Lina Rosli
Peningkatan ketara kes influenza di peringkat global dan serantau, ditambah dengan kematian pelakon Taiwan, Barbie Hsu, pelakon China, Liang You Cheng, dan seorang kanak-kanak perempuan Malaysia berusia tiga tahun, menekankan keperluan mendesak untuk meningkatkan kesedaran tentang komplikasi serius yang berkaitan influenza.
Influenza memberi impak yang besar di Malaysia dengan 5 hingga 15 peratus populasi dijangkiti setiap tahun sehingga menyebabkan ribuan kes yang serius dan nyawa terkorban.
Walaupun sering dianggap sebagai penyakit bermusim, ia sebenarnya memberi impak yang besar kepada kesihatan awam yang menjadi punca jutaan kes kritikal dan kematian di seluruh dunia setiap tahun.

Menurut Dr. Megat Razeem Bin Abdul Razak, Pakar Perunding Pernafasan dan Pulmonologi Intervensi, serta Dr. Noor Zehan Binti Abdul Rahim, Pakar Pediatrik dan Respiratori Kanak-kanak dari Pusat Perubatan Sunway, Bandar Sunway (SMC), memberi pandangan tentang bagaimana influenza memberi kesan yang berbeza kepada orang dewasa dan kanak-kanak, serta menekankan kepentingan mengambil langkah proaktif untuk membendung penyebarannya.
Influenza Dalam Kalangan Dewasa
Menurut Dr. Megat, peningkatan kes influenza sering berlaku semasa cuti sekolah apabila rakyat Malaysia pulang dari luar negara dan membawa virus tersebut.
Disebabkan influenza mudah merebak melalui titisan cecair di udara dan kontak rapat, tempat seperti sekolah, pejabat, dan pengangkutan awam menjadi kawasan berisiko tinggi penyebaran jangkitan.
Influenza jauh lebih teruk daripada selesema biasa, dengan gejala seperti:
- demam panas
- sakit tekak
- sakit badan
- keletihan melampau.
Bagi kebanyakan orang, ia tidak selesa tetapi masih terkawal. Namun, bagi golongan warga emas, wanita hamil, kanak-kanak kecil dan mereka yang mempunyai penyakit kronik seperti asma atau penyakit jantung, ia boleh menjadi serius dengan cepat.
Komplikasi seperti pneumonia dan kegagalan pernafasan boleh mengancam nyawa, justeru rawatan awal amatlah penting.
Cabaran untuk mengesannya adalah gejala influenza sering menyerupai COVID-19 dan jangkitan virus lain. Ujian pengesanan adalah penting untuk mendapat diagnosis yang tepat.
Tanda amaran influenza yang teruk termasuklah demam berpanjangan melebihi tiga hingga empat hari, dehidrasi, loya, muntah, atau cirit-birit. Manakala, ubat antivirus paling berkesan dalam tempoh 48 jam. Selepas lima hingga tujuh hari, komplikasi seperti pneumonia bakteria boleh bermula.

Influenza Dalam Kalangan Kanak-kanak – Risiko Lebih Tinggi
Walaupun influenza boleh menjangkiti sesiapa sahaja, namun kanak-kanak terutama yang berumur di bawah lima tahun adalah antara kumpulan paling berisiko.
Sistem imun yang belum matang menyebabkan mereka lebih mudah mengalami gejala teruk berbanding orang dewasa. Influenza boleh merebak dengan cepat pada kanak-kanak. Oleh itu, intervensi awal amat penting untuk mengelakkan komplikasi jangka panjang yang boleh menjejaskan fungsi paru-paru mereka.
Influenza yang teruk pada kanak-kanak boleh menyebabkan komplikasi yang serius seperti:
- pneumonia
- dehidrasi
- jangkitan otak atau jantung seperti ensefalitis atau miokarditis
Gejala seperti demam panas, sakit badan, batuk, dan keletihan tidak boleh diabaikan dan menganggapnya sebagai masalah kesihatan biasa kanak-kanak.
Jika mengalami gejala berterusan melebihi 48 jam atau demam yang tidak kebah dengan ubat, ibu bapa perlu segera mendapatkan rawatan perubatan. Kesukaran bernafas, muntah berterusan, dan tanda-tanda dehidrasi adalah tanda amaran yang memerlukan penjagaan segera.
Vaksinasi Flu – Langkah Mudah Untuk Mencegah Penyakit Serius
Walaupun terbukti berkesan, vaksinasi influenza sering disalah faham. Vaksin influenza adalah selamat dan disyorkan untuk kanak-kanak seawal usia enam bulan. Ia dapat mengurangkan risiko penyakit yang serius dan kemasukan ke hospital dengan ketara.
Ini kerana vaksin mengandungi strain virus yang tidak aktif atau dilemahkan, bermakna sebarang gejala ringan selepas vaksinasi adalah tindak balas semula jadi imun badan.
Jangkitan influenza berulang bukan sahaja menimbulkan risiko serta-merta, tetapi juga kesan jangka panjang. Menurut Dr. Noor Zehan, keradangan berulang akibat influenza boleh meningkatkan risiko asma pada kanak-kanak.
Oleh itu, vaksinasi influenza berkala dan pengurusan asma yang betul adalah penting untuk mengurangkan risiko ini.

Bagi individu yang sering ke luar negara, terutamanya ke destinasi musim sejuk, langkah berjaga-jaga tambahan adalah penting. Dr. Megat menyarankan individu untuk mengambil vaksinasi tahunan dan memaklumkan doktor tentang rancangan perjalanan mereka kerana strain influenza mungkin berbeza mengikut rantau.
Dan adalah penting untuk mengamalkan kebersihan tangan yang baik dan mengelakkan tempat yang sesak. Memakai pelitup muka, mengamalkan gaya hidup sihat, dan membawa cecair pembasmi kuman boleh mengurangkan lagi risiko jangkitan.
Melindungi Kanak-kanak Di Sekolah Dan Rumah
Pencegahan influenza perlu bermula dari peringkat awal, terutamanya di sekolah dan pusat penjagaan kanak-kanak yang merupakan tempat lazim penularan penyakit ini.
Sekolah perlu menggalakkan amalan mencuci tangan yang kerap, memastikan pengudaraan yang baik, menyediakan makanan berkhasiat dan mengatur aktiviti luar untuk menguatkan sistem imun kanak-kanak.