Festival Kopi Terbesar Selangor Kembali – SELCOFF 2025 Bakal Diadakan Di The Curve Pada 17-19 Oktober Ini
Lina Rosli
Bagi penggemar kopi, inilah acara yang wajar ditandakan dalam kalendar anda. Festival kopi terbesar Selangor, SELCOFF (Selangor Coffee Fest) 2025, bakal berlangsung di The Curve, Mutiara Damansara dari 17 hingga 19 Oktober 2025.
Selama tiga hari, festival ini menjanjikan pengalaman menyeluruh yang memadukan dunia kopi, komuniti dan gaya hidup. Antara aktiviti yang boleh dinantikan termasuklah pertandingan barista bertaraf ASEAN, acara kayuhan santai bersama komuniti basikal lipat, kejohanan pickleball, serta kawasan khas Coffee Village yang menampilkan pelbagai gerai kopi, trak makanan dan pameran interaktif untuk diterokai oleh pengunjung sepanjang hujung minggu tersebut.

Pertandingan Barista ASEAN Menjadi Tumpuan Utama
Antara tarikan utama festival tahun ini ialah ASEAN Barista Championship, yang menghimpunkan barista terbaik dari seluruh rantau untuk mempersembahkan kemahiran dan kreativiti mereka.
Dari penyediaan kopi ‘pour-over’ yang sempurna hingga hasil seni ‘latte art’ yang mengagumkan, pertandingan ini pastinya menarik perhatian pencinta kopi yang menghargai ketelitian dan keindahan dalam setiap bancuhan.

Selain dunia kopi, SELCOFF 2025 turut menawarkan pelbagai aktiviti menarik yang sesuai untuk semua peringkat umur dan minat.
- SELCOFF Fun Ride – Pada hari Ahad, 19 Oktober, pengunjung boleh menyertai Himpunan Mega Basikal Lipat Kebangsaan (HMBLK) melalui kayuhan santai sejauh 22 kilometer. Peserta akan menerima jersi percuma serta sarapan pagi percuma, di samping peluang memenangi hadiah menarik menerusi cabutan bertuah.
- Kejohanan PickleballAcara ini juga menampilkan kejohanan pickleball yang dianjurkan oleh JK Eight Society, memberi peluang kepada pengunjung untuk menyaksikan atau mencuba sendiri sukan yang kian mendapat tempat dalam kalangan masyarakat.


Bukan itu sahaja, festival ini turut memperkenalkan Coffee Village, kawasan interaktif yang menampilkan pelbagai gerai kopi, trak makanan serta pameran daripada jenama tempatan dan antarabangsa.
Bagi yang berminat untuk berkunjung, berikut adalah butiran lanjut untuk SELCOFF 2025 ini:
- Tarikh: 17, 18 & 19 Oktober 2025
- Masa: 10.00 pagi – 10.00 malam
- Lokasi: The Curve, Mutiara Damansara
SELCOFF 2025 bukan sekadar festival kopi, tetapi satu perayaan komuniti dan gaya hidup yang menghubungkan penggemar kopi, peminat aktiviti luar serta masyarakat umum dalam suasana harmoni. Sama ada anda pencinta kopi tegar, penggemar aktiviti santai atau sekadar ingin menikmati hujung minggu yang berbeza, festival ini menjanjikan pengalaman yang tidak wajar dilepaskan.