Pengalaman Staycation Di DoubleTree by Hilton Kuala Lumpur

October 15, 2025
Hotel & Pelancongan

Lina Rosli

Bagi pasangan baharu yang mencari percutian singkat tanpa perlu keluar jauh dari hiruk-pikuk kota, DoubleTree by Hilton Kuala Lumpur menawarkan pengalaman staycation yang seimbang antara kemewahan, keselesaan, dan keintiman.

Terletak di tengah-tengah kawasan Ampang Park — salah satu lokasi paling strategik di Kuala Lumpur, hotel ini bukan sahaja menjadi tempat untuk berehat, tetapi juga ruang untuk berdua menikmati waktu tenang dalam suasana yang eksklusif dan moden.

Ruang Klasik Dengan Sentuhan Moden – Executive King Room Dengan Akses Untuk Lounge

Bilik yang saya inap kali ini ialah Executive King Room with Lounge Access, salah satu kategori bilik yang direka untuk tetamu yang mencari lebih privasi dan kemudahan tambahan.

Sebaik melangkah masuk, suasana bilik terasa luas, terang dan kemas — dengan pencahayaan lembut yang menenangkan serta penggunaan tona kayu dan warna bumi yang memberi rasa selesa dan hangat. Katil ‘king-sized’ yang empuk menjadi tumpuan utama, lengkap dengan bantal dan tilam yang menyokong tubuh dengan baik selepas seharian berjalan.

Bahagian bilik mandi juga mencerminkan kemewahan sederhana. Namun, untuk pilihan bilik ini, ia tidak dilengkapi dengan tab mandi – hanya mempunyai pancuran mandian sahaja.Akan tetapi, apa yang saya gemari adalah kelengkapan mandian aromatik yang menambah elemen spa ke dalam pengalaman menginap.

Selain itu, untuk bilik mandinya juga ia mempunyai tirai automatik yang boleh dipasang atau dinyah-pasang – bergantung kepada pengguna sama ada untuk menggunakannya atau sebaliknya.

Dari tingkap besar bilik, pemandangan bandar Kuala Lumpur dapat dinikmati, sama ada di waktu pagi dengan sinar matahari yang lembut atau di waktu malam dengan panorama lampu-lampu kota yang berkilau.

Apa yang menarik, semua kemudahan asas seperti meja kerja, sambungan Wi-Fi dan televisyen skrin besar tersedia dengan baik. Ini menjadikan bilik ini bukan sahaja sesuai untuk berehat, tetapi juga untuk bekerja atau sekadar bersantai berdua dengan suasana yang tenang.

Dari segi sambungan Wi-Fi, kelajuannya memadai untuk kegunaan harian seperti penstriman, melayari laman web atau bekerja secara atas talian. Namun, jika anda perlu memuat naik fail besar ke awan, kelajuannya mungkin terasa sedikit perlahan. Berdasarkan pengalaman saya sendiri, proses memuat naik video bersaiz 4GB ke YouTube mengambil masa sekitar 30 hingga 40 minit.

Executive Lounge Di Aras 34 – Eksklusif, Nyaman Dan Menenangkan

Salah satu kelebihan utama menginap di bilik ini ialah akses eksklusif ke Executive Lounge di aras 34. Ruang ini menawarkan pengalaman yang lebih peribadi — sesuai untuk pasangan yang ingin menikmati masa berkualiti tanpa gangguan.

Waktu petang, tetamu boleh menikmati tea time dengan pilihan pastri, snek ringan serta teh dan kopi panas, sementara di waktu malam pula disediakan hidangan kecil seperti mi kari, nasi goreng dan minuman istimewa dalam suasana yang lebih santai.

Untuk saya sendiri, saya mempunyai pilihan untuk menikmati sarapan sama ada di Executive Lounge atau di Makan Kitchen. Bezanya, hidangan di lounge lebih berinspirasikan gaya continental — ringkas tetapi elegan, dengan pilihan seperti roti, pastri dan jus segar.

Sementara bagi yang ingin menikmati cita rasa tempatan, Makan Kitchen menawarkan bufet sarapan penuh dengan hidangan Malaysia seperti nasi lemak, roti canai dan pelbagai sajian panas yang segar disediakan di stesen terbuka.

Nikmati Sajian Di Makan Kitchen Dan Tosca

Pengalaman menginap di DoubleTree Kuala Lumpur tidak lengkap tanpa menjamu selera di dua restoran utamanya — Makan Kitchen yang terletak di aras 11 dan Tosca di aras 10.

Makan Kitchen, yang menjadi lokasi untuk sarapan dan makan malam bufet, sememangnya antara tarikan terbesar hotel ini. Ruang restorannya luas dan moden dengan konsep terbuka, membolehkan tetamu melihat sendiri penyediaan makanan di pelbagai stesen – dari hidangan tempatan seperti nasi lemak, mi goreng, roti canai dan laksa, hingga pilihan antarabangsa seperti omelet bar, salad segar, soba dan pastri.

Waktu makan malam pula menawarkan lebih variasi – termasuk lauk tradisional Melayu, hidangan Cina, India, serta daging dan ayam panggang dan juga pencuci mulut yang menarik. Bagi pasangan yang gemar mencuba pelbagai citarasa, Makan Kitchen memberikan pengalaman menjamu selera yang lengkap, penuh warna dan aroma.

Bagi tetamu yang menginap, bufet sarapan pagi ditawarkan pada kadar sekitar RM38 untuk dewasa, manakala bufet makan malam hujung minggu pula berharga sekitar RM148 untuk dewasa dan RM74 untuk kanak-kanak berusia antara 6 hingga 12 tahun. Selain itu, terdapat juga bufet minum petang hujung minggu berharga RM99 untuk dewasa dan RM49 untuk kanak-kanak, sesuai untuk mereka yang ingin menikmati hidangan ringan sambil bersantai pada petang Sabtu atau Ahad.

Sementara itu, Tosca yang terletak berhampiran kolam renang menawarkan suasana makan tengah hari yang lebih santai dengan konsep Itali moden. Hidangan pasta dan pizza di sini mendapat pujian kerana rasanya yang autentik, manakala suasananya yang tenang menjadikannya sesuai untuk makan tengah hari romantik sebelum kembali ke bilik untuk berehat.

Ketika kunjungan saya, Tosca turut menawarkan set makan tengahari istimewa sempena promosi bulan Oktober — hanya RM42 seorang, lengkap dengan pilihan hidangan pembuka, utama dan pencuci mulut. Promosi di sini juga sering bertukar mengikut hari; contohnya, pada hari saya berkunjung, mereka menawarkan Compressed Lamb Ribs pada harga RM65 sahaja, berbanding harga asal RM158.

Lokasi Strategik – Dikelilingi Tarikan Gaya Hidup Bandar

Selain kemudahan dalaman, salah satu kekuatan DoubleTree Kuala Lumpur ialah lokasinya yang strategik. Terletak bersebelahan Intermark Mall, tetamu tidak perlu keluar jauh untuk mencari kopi pagi, membeli cenderamata, atau menikmati makan malam ringan. Pusat beli-belah ini mempunyai pelbagai restoran antarabangsa dan tempatan, menjadikannya sangat mudah diakses terus dari hotel melalui laluan tertutup yang berhawa dingin.

Bagi mereka yang gemar berjalan kaki, The Linc KL hanya di seberang jalan – menawarkan suasana urban dengan kedai tempatan, kafe estetik dan butik gaya hidup. Sementara itu, KLCC Park dan Suria KLCC pula terletak hanya beberapa minit dari hotel – sesuai untuk evening stroll berdua sambil menikmati pemandangan Menara Berkembar Petronas. Jika ingin menjelajah lebih jauh, stesen LRT Ampang Park terletak berhampiran dan memudahkan akses ke seluruh bandar.

Dengan kedudukan yang begitu strategik, DoubleTree Kuala Lumpur memberikan keseimbangan antara ketenangan hotel bertaraf antarabangsa dan keselesaan bandar moden yang penuh aktiviti.

Pengalaman Staycation Yang Seimbang Antara Tenang Dan Eksklusif

Apa yang menjadikan pengalaman staycation di sini berbeza ialah perhatian terhadap butiran kecil. Dari layanan mesra sewaktu daftar masuk (beserta signature warm cookie DoubleTree yang terkenal) hingga ke cara kakitangan melayan tetamu di lounge dan restoran — semuanya memberi sentuhan keikhlasan yang membuatkan pengalaman menginap terasa lebih peribadi.

Tambahan pula, bagi ahli Hilton Honors, pengalaman menginap di DoubleTree Kuala Lumpur menjadi lebih mudah dan peribadi. Sewaktu daftar masuk, saya hanya perlu menggunakan aplikasi Hilton Honors di telefon untuk melakukan check-in tanpa perlu beratur di kaunter.

Melalui aplikasi yang sama, saya juga boleh memilih bilik sendiri dan menggunakan fungsi Digital Key untuk membuka pintu bilik — satu kemudahan yang sangat praktikal terutama apabila tiba lewat atau ingin terus berehat tanpa menunggu lama di lobi.

Selain itu, ahli Hilton Honors turut menikmati pelbagai ganjaran dan kelebihan eksklusif seperti pengumpulan mata untuk setiap perbelanjaan di restoran hotel seperti Makan Kitchen dan Tosca, diskaun makanan dan minuman sehingga 25%, serta peluang naik taraf bilik bergantung kepada ketersediaan.

Bagi saya, kelebihan ini menjadikan pengalaman di DoubleTree lebih lancar dan efisien — sesuai untuk pasangan moden yang mahukan keselesaan serta kemudahan teknologi dalam setiap percutian mereka.

© 2025 Amanz Media Sdn Bhd