Floaters Dalam Mata – Petanda Awal Masalah Retina Yang Boleh Sebabkan Kebutaan

October 15, 2025
Kesihatan

Lina Rosli

Lekangan retina merupakan satu keadaan yang serius dan boleh menyebabkan kebutaan sekiranya tidak dirawat segera. Walaupun jarang didengari, ia adalah risiko yang perlu diberi perhatian khususnya bagi individu berumur 40 tahun ke atas, mereka yang mempunyai rabun jauh (miopia) yang tinggi, serta mereka yang mempunyai sejarah keluarga dengan masalah retina.

Menurut Dr Peh Khaik Kee dan Dr Selva Raja Vengadasalam, Pakar Perubatan Oftalmologi dan Pakar Bedah Vitreoretinal di Pusat Perubatan Sunway (SMC), tindakan segera amat penting dalam memastikan penglihatan pesakit dapat diselamatkan sebelum keadaan menjadi lebih teruk.

Apa Itu Lekangan Retina?

Lekangan retina berlaku apabila retina, iaitu lapisan nipis di bahagian belakang mata, terpisah daripada kedudukannya yang asal. Walaupun tidak menyebabkan kesakitan, keadaan ini boleh mengakibatkan kehilangan penglihatan secara kekal jika tidak dirawat segera.

Dr Peh menjelaskan bahawa mata berfungsi seperti kamera, di mana retina bertindak sebagai filem untuk memproses imej. Gel jernih yang dikenali sebagai cecair vitreus mengisi ruang dalam mata, namun seiring peningkatan usia, ia boleh mengecut dan menarik retina.

Tarikan ini boleh menyebabkan koyakan kecil, dan jika cecair meresap ke belakang koyakan tersebut, ia boleh menyebabkan retina terangkat dan terpisah. Dan apabila tanda itu muncul, proses pemulihan penglihatan menjadi lebih sukar.

Tanda-Tanda Awal Lekangan Retina

Antara tanda awal lekangan retina ialah kemunculan ‘floaters’ (bintik terapung) dan kilauan cahaya dalam penglihatan.

Floaters biasanya kelihatan seperti bintik kecil, sarang labah-labah, atau bentuk seperti nyamuk yang bergerak dalam penglihatan. Jika berlaku peningkatan mendadak dalam jumlah floaters atau kilauan cahaya, terutamanya di bahagian tepi penglihatan, ia perlu diberi perhatian segera.

Tanda lain yang membimbangkan ialah kemunculan bayang-bayang atau tirai yang merayap menutupi pandangan. Ini mungkin menunjukkan retina sudah mula terpisah.

Sekiranya makula iaitu bahagian penting retina masih berada di tempat asal, peluang untuk memulihkan penglihatan penuh masih tinggi. Namun jika makula turut terjejas, kebarangkalian untuk mendapatkan semula penglihatan sepenuhnya akan berkurangan

Siapa Yang Berisiko

Menurut Dr Selva, lekangan retina berlaku dalam kira-kira 7 hingga 14 kes bagi setiap 100,000 orang, menjadikannya lebih biasa daripada yang disangka. Keadaan ini tidak berpunca daripada gaya hidup atau pemakanan, tetapi disebabkan oleh struktur mata seseorang.

Mereka yang berisiko tinggi termasuk:

  • Individu berumur lebih 40 tahun
  • Mereka yang mempunyai rabun jauh (miopia) yang tinggi
  • Mereka yang mempunyai sejarah keluarga dengan masalah retina
  • Mereka yang pernah mengalami kecederaan atau pembedahan mata

Bukan itu sahaja, kes lekangan retina lebih kerap berlaku dalam kalangan lelaki – selain turut lebih banyak dilihat dalam komuniti Cina, mungkin disebabkan kadar miopia yang tinggi dalam populasi tersebut.

Kepentingan Diagnosis Awal

Walaupun ramai yang mengalami simptom seperti floaters dan kilauan cahaya, kebanyakan kes tidak serius. Hanya kira-kira 5 hingga 10 peratus sahaja yang benar-benar melibatkan koyakan pada retina.

Oleh itu, pemeriksaan oleh pakar retina menekankan yang mana adalah penting untuk memastikan diagnosis yang tepat.

Pemeriksaan awal perlu diikuti dengan pemeriksaan susulan dalam tempoh dua hingga tiga bulan kerana koyakan mungkin tidak dapat dikesan pada peringkat awal. Ini merupakan tempoh kritikal di mana vitreus boleh terus menarik retina dan menyebabkan lekangan.

Sekiranya koyakan dikesan awal, rawatan boleh dilakukan melalui prosedur laser fotokoagulasi untuk menutup koyakan dan mencegah lekangan. Namun, jika retina sudah terpisah, pembedahan perlu dilakukan dengan segera.

Antara prosedur yang digunakan ialah vitrektomi dan scleral buckling, iaitu kaedah pembedahan mikro yang bertujuan untuk mengembalikan retina ke tempat asalnya.

Menurut pakar juga, kehadiran teknologi terkini menjadikan prosedur ini lebih selamat dan efisien. Instrumen moden yang digunakan hanya bersaiz 0.5 milimeter, membolehkan pesakit pulih dengan lebih cepat.

Dalam beberapa kes, gelembung gas akan diletakkan di dalam mata untuk membantu menekan retina kembali ke kedudukan asalnya, dan pesakit mungkin perlu meniarap beberapa jam setiap hari selama satu hingga dua minggu selepas pembedahan.

Dr Peh menjelaskan bahawa kadar kejayaan pembedahan retina kini mencapai antara 80 hingga 97 peratus, bergantung kepada tahap kerosakan dan kepantasan rawatan diberikan.

Sekiranya makula masih belum terjejas, pesakit berpeluang mendapatkan semula fungsi penglihatan sepenuhnya. Namun jika makula telah terpisah, sekitar 70 peratus pesakit masih mampu memperoleh penglihatan yang mencukupi untuk aktiviti harian seperti membaca atau memandu.

Beliau turut menambah bahawa kebanyakan pesakit mungkin mengalami katarak dalam tempoh enam hingga 24 bulan selepas pembedahan retina, namun keadaan ini boleh dirawat dengan pembedahan katarak standard.

Tiada ubat atau suplemen yang boleh mencegah lekangan retina, tetapi pengesanan awal dan rawatan segera boleh memberi perbezaan besar terhadap hasil pemulihan.

Pusat Mata Sunway di Pusat Perubatan Sunway, Bandar Sunway, menawarkan perkhidmatan menyeluruh yang merangkumi pemeriksaan mata rutin, pembedahan retina lanjutan, serta penjagaan susulan jangka panjang.

© 2025 Amanz Media Sdn Bhd