Sut Diperbuat Daripada Bulu Misai Cipta Rekod Dunia

October 15, 2025
fakta menarik

Lina Rosli

Jika bulan Oktober sinonim dengan kempen kesedaran tentang kanser payudara, maka bulan November pula adalah bulan yang memfokuskan kepada kesihatan lelaki yang mana turut dikenali sebagai “No Shave November”.

Dan di Australia, mereka hadir dengan kempen tersendiri yang dikenali sebagai “Movember” membawa mesej yang lebih luas — memberi tumpuan kepada kesihatan fizikal dan mental lelaki. Selari dengan kempen ini, satu rekaan unik telah ditampilkan iaitu sut pertama di dunia yang diperbuat sepenuhnya daripada bulu misai sebenar.

Rekaan ini dihasilkan oleh artis visual Pamela Kleemann-Passi, bersama agensi kreatif Bullfrog dan jenama pakaian lelaki POLITIX, sempena kempen kesedaran kesihatan lelaki “Movember” pada tahun 2021. Kempen ini bertujuan meningkatkan kesedaran terhadap isu seperti kanser prostat, kanser testis dan kesihatan mental dalam kalangan lelaki.

Sut ini terdiri daripada jutaan helaian bulu misai yang disumbangkan oleh lelaki dari pelbagai latar belakang, termasuk mereka yang pernah berdepan cabaran kesihatan. Ia turut menggunakan rambut yang dikitar semula melalui Sustainable Salons, sebuah organisasi yang memanfaatkan hampir 95% sisa rambut dari salon di Australia. Pamela kemudiannya menggabungkannya menjadi fabrik dengan tona dan tekstur semula jadi yang berbeza.

Dalam proses pembuatannya, Pamela memilih jahitan jenis ‘blind hemming stitch, yang jika dilihat dari dekat, menyerupai degupan jantung pada monitor kesihatan — satu simbol halus tetapi bermakna terhadap mesej utama projek ini.

Setiap bulu ini juga digabungkan dalam lapisan fabrik kapas hitam POLITIX dan tulle hitam halus, membentuk apa yang digelar Pamela sebagai mo-hair sandwich yang mana ia langkah inovatif yang menggabungkan tekstur dan warna semula jadi bulu misai dalam rekaan formal.

Lapisan dalam sut pula dihiasi dengan petikan sebenar daripada lelaki yang menyumbangkan rambut mereka, termasuk mesej sokongan tentang menjaga kesihatan, menghargai hidup dan berani mendapatkan bantuan apabila diperlukan.

Tambah Pamela juga, projek ini turut membawa nilai peribadi yang mendalam. Ia merupakan tribut kepada suaminya, Passi Jo, yang meninggal dunia akibat kanser pada tahun 2016.

Dikenali sebagai “Mo-Hair Suit”, hasil kreatif ini berjaya menarik perhatian global — memenangi Anugerah Emas Spikes Asia (kategori Health) dan turut dipamerkan di Melbourne Fashion Festival.

Walaupun sut ini mungkin tidak sesuai untuk dipakai ke pejabat, namun ia berjaya mencapai matlamatnya dalam menjadikan fesyen sebagai medium untuk bersuara.

© 2025 Amanz Media Sdn Bhd