Domino’s Kemaskini Identiti Jenama – Kini Lebih Segar Dan Moden
Lina Rosli
Domino’s Pizza Inc mengumumkan pembaharuan jenama menyeluruh selepas lebih sedekad mengekalkan identiti yang sama. Pembaharuan ini, yang merupakan yang pertama dalam tempoh 13 tahun.
Dengan kemaskini semula identiti mereka, ia memperlihatkan pendekatan lebih moden dan berani dalam setiap elemen visual dan bunyi, dengan matlamat menjadikan jenama Domino’s sama menarik dan menggoda seperti piza yang dihasilkannya.

Melalui inisiatif ini, Domino’s memperkenalkan elemen baharu termasuk warna yang lebih terang – selain turut menampilkan tipografi baharu dikenali sebagai Domino’s Sans.
Bukan itu sahaja, kotak piza ikoniknya kini tampil dengan rekaan lebih minimalis dan berwarna cerah, sementara variasi seperti Handmade Pan dan Parmesan Stuffed Crust akan menggunakan rekaan eksklusif berwarna hitam dan emas metalik bagi menyerlahkan keaslian serta rasa premium.

Antara tumpuan utama pembaharuan ini ialah pengenalan jingle baharu yang dinamakan “Dommmino’s”, hasil kolaborasi bersama penyanyi dan penulis lagu yang pernah menerima lima pencalonan GRAMMY, Shaboozey. Jingle ini menggantikan tagline tradisional dan dijadikan sebahagian daripada nama Domino’s itu sendiri – mencipta pengalaman audio yang lebih dekat dengan konsep craveability atau keinginan menikmati piza.
Selain pembaharuan pada logo dan warna, Domino’s turut memperkenalkan rekaan pakaian seragam baharu yang lebih muda dan segar untuk para pekerja. T-shirt edisi khas bertulis “Dommmino’s: you can’t say Domino’s without saying mmm” turut akan diperkenalkan di beberapa cawangan terpilih di Amerika Syarikat.

Pengenalan identiti baharu ini akan dilaksanakan secara berperingkat di Amerika Syarikat dan pasaran antarabangsa lain, merangkumi kempen televisyen, platform digital, aplikasi pesanan, bahan cetakan serta visual dalaman kedai.
Melalui pembaharuan ini, Domino’s sekali lagi membuktikan keupayaannya menyesuaikan diri dengan kehendak generasi baharu tanpa meninggalkan nilai tradisi yang telah membina kepercayaan pelanggan selama ini.