Kesan Kemalangan Ke Atas Individu – Trauma Otak Antara Komplikasi Paling Serius

October 24, 2025
Kesihatan

Lina Rosli

Setiap hari di jalan raya Malaysia, hidup seseorang boleh berubah sekelip mata. Satu hentaman kecil sudah memadai untuk menghantar mangsa ke unit kecemasan, diikuti pembedahan kecemasan bagi menyelamatkan nyawa. Namun, bagi ribuan pesakit kecederaan otak traumatik (TBI), perjuangan sebenar mereka hanya bermula selepas dibenarkan pulang dari hospital.

Malaysia merekodkan lebih 500,000 kemalangan jalan raya setiap tahun, dan trauma otak merupakan antara komplikasi paling serius. Walaupun kadar kematian akibat TBI semakin menurun berkat kemajuan perubatan moden, kesannya terhadap ekonomi, sosial dan emosi masih amat besar — menjadikan TBI antara isu kesihatan yang kurang dibincangkan secara terbuka di negara ini.

Dalam beberapa tahun kebelakangan ini, sistem rawatan trauma di Malaysia berdepan cabaran ketara – iaitu kekurangan akses kepada pemulihan selepas trauma, terutama ketika pesakit paling memerlukannya.

Di sebalik angka kadar kelangsungan hidup yang meningkat, terdapat komplikasi “halimunan” yang sukar difahami, bukan sahaja oleh pesakit dan keluarga, tetapi juga oleh sistem kesihatan itu sendiri.

Sebagai tindak balas, Pusat Perubatan Sunway Damansara (SMCD) mengambil langkah proaktif untuk memberi tumpuan kepada cabaran pasca-pembedahan yang sering diabaikan, serta membuka ruang dialog lebih luas tentang realiti pemulihan – satu perjalanan panjang yang melangkaui dinding hospital.

Realiti Di Meja Pembedahan

Apabila seseorang pesakit disyaki mengalami kecederaan otak traumatik, pasukan bedah saraf akan bertindak pantas menilai tahap kecederaan dan menentukan rawatan yang sesuai.

Menurut Dr. Low Siaw Nee, Pakar Bedah Saraf di SMCD, kecederaan seperti gegaran otak, pendarahan dalam tengkorak dan patah tengkorak adalah antara kes paling kerap ditemui. Dan penunggang motosikal kekal sebagai kumpulan paling berisiko mengalami pendarahan dalam tengkorak – jika dibandingkan dengam pemandu atau penumpang kereta.

Untuk pengetahuan anda juga, pemulihan otak tidak mempunyai garis masa yang tetap — berbeza dengan patah tulang yang boleh dijangka tempoh sembuhnya. Faktor seperti usia, tahap kesihatan, dan respons otak terhadap rawatan memainkan peranan penting.

Apa yang menakutkan juga, kecederaan otak boleh mengubah personaliti, cara membuat keputusan, malah hubungan dengan orang sekeliling.

Perubahan Apabila Semakin Pulih

Tidak seperti kecederaan fizikal yang jelas kelihatan, kesan trauma otak sering tersembunyi. Pesakit mungkin tampak normal, tetapi sebenarnya berdepan perubahan besar dari segi emosi dan kognitif.

Dr. Low menjelaskan bahawa fasa komplikasi biasanya berkembang secara berperingkat. Dalam dua minggu pertama, tumpuan utama diberikan kepada kelangsungan hidup pesakit. Namun, selepas tiga bulan, gangguan emosi dan kognitif biasanya mula muncul, dan dalam tempoh setahun, kesan ini boleh menjadi semakin ketara sehingga memerlukan pemantauan yang lebih rapi.

Beliau turut menegaskan pentingnya mengenal pasti tanda bahaya masalah trauma otak seperti:

  • sakit kepala berpanjangan
  • muntah
  • lemah anggota badan
  • kekeliruan atau sawan

Ini kerana simptom sedemikian boleh menjadi petanda kepada komplikasi neurologi yang serius.

Pemulihan Selepas Hospital

Bidang pemulihan TBI kini menekankan pendekatan yang menyeluruh dan diperibadikan, melibatkan bukan sahaja rawatan perubatan, tetapi juga sokongan psikologi, terapi pekerjaan, dan pendidikan untuk keluarga.

Secara umumnya, cabaran terbesar dalam proses pemulihan bukan hanya berkaitan dengan kecacatan fizikal, tetapi juga jurang antara kemampuan sebenar pesakit dan jangkaan masyarakat terhadap mereka. Jurang ini hanya dapat dirapatkan melalui pemahaman, empati serta strategi adaptasi yang berterusan.

Bagi Dr. Low, kejayaan sebenar dalam pemulihan bukan diukur melalui keupayaan pesakit untuk berdiri atau berjalan semula semata-mata, tetapi apabila mereka mampu membina semula kehidupan yang bermakna — mengekalkan hubungan, kembali bekerja dan menemui semula tujuan hidup.

Beliau juga menggesa agar fasa kedua rawatan iaitu pemulihan dan integrasi sosial hendaklah diberi perhatian sama penting dengan rawatan kecemasan. Ini termasuk memperkukuh sokongan keluarga, komuniti dan dasar awam bagi membantu pesakit beralih daripada sekadar meneruskan hidup kepada membina kehidupan yang lebih berkualiti dan berpanjangan.

Layari laman web Pusat Perubatan Sunway Damansara untuk mengetahui lebih lanjut mengenai perkhidmatan neurologi khusus dan sokongan TBI.

© 2025 Amanz Media Sdn Bhd