ZUS Coffee Memperkenalkan Superfine Sachet – Inovasi Espresso Tanpa Menggunakan Mesin

October 27, 2025
Kopi

Lina Rosli

Dalam usaha memperkukuh kedudukan sebagai jenama kopi tempatan yang inovatif, ZUS Coffee memperkenalkan Superfine Sachet, rangkaian kopi segera yang menampilkan kualiti dan kemudahan dalam satu penyediaan ringkas. Produk ini dibangunkan bagi memenuhi keperluan pengguna moden yang mengutamakan cita rasa kopi berkualiti tinggi tanpa memerlukan mesin atau peralatan penyediaan yang kompleks.

Menurut ZUS Coffee, Superfine Sachet direka dengan konsep “No machine. No mess. Just a perfect cup.” Setiap paket boleh disediakan dalam masa kurang daripada satu minit — hanya koyakkan sachet, masukkan ke dalam cawan, tambah air atau susu dan kacau sehingga larut.

Reka bentuk ini menjadikannya pilihan ideal bagi individu yang sentiasa sibuk, sering bekerja di luar pejabat, atau mencari penyelesaian kopi pantas tanpa menjejaskan kualiti rasa.

Selain untuk kegunaan harian, Superfine Sachet juga sesuai dijadikan bekalan ketika melancong atau sebagai pilihan minuman di pejabat. Fleksibiliti ini memberikan pengguna kebebasan menikmati kopi premium pada bila-bila masa dan di mana sahaja.

Untuk pengetahuan anda juga, sebelum versi sachet ini diperkenalkan, ZUS Coffee telahpun hadir dengan penawaran dalam bentuk kapsul – yang juga menampilkan cara penyediaan yang sama.

Untuk Superfine Sachet ini, ia menggunakan teknologi pengekstrakan suhu rendah yang mengekalkan aroma serta profil rasa biji kopi Arabica secara optimum. Proses freeze-dried atau pengeringan beku yang dijalankan pada suhu sekitar –40°C membantu mengekalkan kesegaran dan keaslian rasa kopi, menjadikannya hampir setanding dengan kopi yang baru dibancuh.

Berbeza daripada serbuk kopi segera konvensional, teknologi ini membolehkan ZUS Coffee menghasilkan butiran halus yang mudah larut hanya dalam beberapa saat, sama ada dicampur dengan air panas atau sejuk.

Setiap sachet mengandungi kopi 100% Arabica tulen tanpa gula tambahan atau bahan pengawet, sesuai dinikmati mengikut citarasa masing-masing — sama ada hitam, bersama susu panas, atau dijadikan asas minuman sejuk.

Varian dan Profil Rasa

Antara varian yang diperkenalkan termasuk Boss Blend, yang menonjolkan profil rasa berani dengan nota coklat gelap dan sedikit aroma berasap. Rasa yang penuh dan seimbang menjadikannya pilihan sesuai bagi mereka yang gemar minuman kopi dengan kepekatan yang tinggi.

Manakala untuk anda yang menginginkan kopi dengan profil lebih lembut, ZUS Coffee hadir dengan pilihan Lydia Blend.

Bagi yang berminat, produk ini kini boleh didapati di laman rasmi shop.zuscoffee.com serta di aplikasi ZUS Coffee. Harga untuk ZUS Superfine Sachet  adalah seperti berikut:

  • Pek 5 sachet: RM 19.00
  • Pek 15 sachet: RM 57.00
  • Pek 30 sachet: RM 114.00

© 2025 Amanz Media Sdn Bhd